PN+MN: Ramai beri sokongan gabung, ditakuti PH-DAP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) bersama Muafakat Nasional (MN) menjadi idea paling menerima sokongan ramai yang berharap penyatuan ummah dapat diusahakan kembali demi kepentingan Islam dan Melayu.
 
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, penyatuan ummah adalah antara cara untuk melemahkan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP.
 
“Sekarang mereka naik ‘tocang’ sebab Melayu-Islam tidak bersatu. DAP dan PH akan terus berusaha supaya kita tidak bersatu. Kenapa? Supaya mereka dapat terus berkuasa buat apa sahaja,” tegasnya.
 
Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, sekiranya wujud penyatuan melalui PN dan MN, ia akan menggugat kedudukan pihak berkenaan.
 
“Jika wujud penyatuan melalui PN+MN, mereka (PH-DAP) akan tergugat. Mereka akan hilang semua kuasa yang mereka ada sekarang. Semua tahu perkara ini, lebih-lebih lagi DAP.
 
“Mereka ada think-tank, mereka ada kajian akademik dan kajian lapangan. Mereka sedar keadaan ini. PN sahaja tidak cukup. MN sahaja pun tidak gagah. Perlu kepada PN+MN.
 
“Sebab itu sekarang semua mata tertumpu kepada PN,” katanya melihat penyatuan itu sekali gus akan memelihara kaum minoriti lain, dengan mengembalikan negara ke teras termaktub Perlembagaan.
 
Afnan turut mengenengahkan hujahnya itu berdasarkan perkembangan dilaporkan oleh media arus perdana yang banyak membincangkan mengenai PN melalui pelbagai forum dan dialog.
 
“Panggil orang itu, panggil pakar ini. Media kerajaan sudah tentu disusun naratif untuk bagi persepsi buruk kepada PN. Tapi dalam tak sengaja, ia sebenarnya satu marketing kepada PN,” ujarnya.
 
Beliau berkata liputan berbeza diberikan ketika berlaku konflik dalam parti lain, namun kenyataan pemimpin PN sering diketengahkan bagi menonjolkan perbezaan dan krisis dalaman.
 
“Waktu PH bergolak sesama sendiri, waktu krisis dalaman PKR, waktu pemimpin DAP bergaduh dengan pemimpin Umno, tak nampak pula media arus perdana ini buat wacana. Sebab itu bukan sasaran naratif mereka.
 
“Naratif mereka ialah lemahkan PN. Dicari sebanyak mungkin kenyataan-kenyataan pemimpin PN yang berbeza, diselongkar apa sahaja perbezaan dan krisis dalaman, itulah yang ditonjolkan.
 
“Inilah ‘game’ mereka. ‘game’ media. ‘Game’ untuk terus hidup dalam arus perdana. Kita tak boleh terheret dengan ‘game’ ini,” terangnya.
 
Afnan berkata PN akan menjadi lebih kuat dan cergas dengan pembentukan kepimpinan baharu kelak.
 
“Penyatuan ummah yang sangat diidamkan, pasti akan terbentuk kelak. Itulah kehendak politik Islam. Politik yang menyatukan, bukan memecah-belahkan.
 
“Syaratnya, buang agenda peribadi. Letak agenda ummah paling tinggi,” tegasnya.
 
PN masih wujud
 
Menurutnya, PN masih wujud dan proses pembentukan kepimpinan baharu sedang dibincangkan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan sebelum ini.
 
Ustaz Afnan berkata, dakwaan mengatakan PN sudah ‘rosak’, menuju kehancuran dan hilang arah adalah tidak betul.
 
Menurut beliau, hanya beberapa individu sahaja yang melepaskan jawatan, manakala kepimpinan PN yang lain masih kekal di peringkat pusat, negeri serta bahagian atau kawasan.
 
Afnan berkata pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu juga berjalan seperti biasa.
 
“Tiada mana-mana pimpinan BERSATU yang digugurkan atau meletakkan jawatan dalam Kerajaan Negeri,” ujarnya.
 
Mengulas hubungan dalam kalangan Ahli Parlimen PN, beliau berkata hubungan antara Ahli Parlimen PAS dan BERSATU kini kembali seperti biasa.
 
“Masing-masing masih saling berhubung, masih respon dalam kumpulan WhatsApp. Ada yang menghantar mesej peribadi, ada yang menghubungi melalui telefon.
 
“Ada yang menjemput kenduri, ada yang mengucapkan takziah atas kehilangan ahli keluarga, ada yang berbincang mengenai soalan untuk sidang Dewan Rakyat akan datang dan ada juga yang saling menasihati,” katanya.
 
Beliau menjelaskan bahawa suasana tegang yang berlaku sebelum ini hanya berlaku dalam tempoh singkat.

- Advertisement -

“Riuhlah sekejap sehari dua. Waktu tengah konflik dan panas, masing-masing meluah rasa, melontar kritikan dan memberi pandangan. Selepas keadaan reda, masing-masing mohon maaf dan ukhuwah bertaut kembali,” terangnya.
 
Afnan yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional turut menegaskan beliau tidak pernah menulis bahawa PN akan berkubur.
 
“PN mesti terus dijaga dan diperkasa. Itulah usul Pemuda PAS yang diluluskan dalam Muktamar PAS yang lalu,” jelasnya.
 
Beliau berkata harapan rakyat kepada PN adalah tinggi selepas harapan mereka kepada Pakatan Harapan berkubur. – HARAKAHDAILY 2/1/2026

- Advertisement -