
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan sedang memproses pewartaan beberapa kawasan yang dikenal pasti mempunyai potensi mineral bagi membolehkan aktiviti mendulang emas dijalankan secara terkawal dan sah.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, proses pewartaan itu memerlukan kelulusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) sebelum dilaksanakan di peringkat lapangan.
Menurutnya, antara kawasan yang dikenal pasti termasuk daerah Jeli, Gua Musang, Tanah Merah dan Kuala Krai berdasarkan kewujudan mineral serta penilaian teknikal yang telah dibuat.
“Pewartaan kawasan ini membolehkan aktiviti pendulangan emas dilakukan secara sah dan terkawal, selaras dengan peraturan yang ditetapkan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Exco di Kota Darul Naim, di sini kelmarin.
Mohamed Fadzli menjelaskan, permohonan mendulang emas dibuka kepada rakyat Kelantan tanpa had jumlah tertentu, namun setiap permohonan akan diteliti secara terperinci.
“Kita tidak menetapkan had tertentu. Semua permohonan akan dinilai secara kes demi kes dan bukan secara automatik diluluskan,” ujarnya.
Katanya, permohonan boleh dibuat secara manual melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) atau pejabat berkaitan, manakala sistem permohonan secara dalam talian akan dipertimbangkan pada masa hadapan.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan bahawa kelulusan diberikan hanya melibatkan aktiviti pendulangan emas, manakala urusan penjualan emas mesti dibuat melalui pembeli yang mendapat kelulusan kerajaan negeri.
“Hanya pendulang dibenarkan, manakala penjualan emas perlu melalui pembeli yang diluluskan bagi memastikan kawalan serta pematuhan kepada peraturan sedia ada,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri menjangkakan sambutan yang menggalakkan berdasarkan maklum balas awal orang ramai, namun pemantauan rapi akan dilaksanakan bagi memastikan aktiviti itu tidak menimbulkan sebarang masalah.
“Keutamaan kerajaan negeri ialah memastikan aktiviti ini memberi manfaat kepada rakyat serta dilaksanakan secara berdisiplin, teratur dan terkawal,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/1/2026











