Perjuangan PAS terhadap Palestin tidak akan terhenti 

Tuan Guru Abdul Hadi dalam sidang media Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa di Kuala Lumpur pada hari ini, 12 Oktober 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee).
- Advertisement -


- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS berjaya mendesak kerajaan terdahulu pada tahun 1957 bagi memastikan perjuangan membebaskan Baitulmaqdis dan bumi Palestin di dalam Parlimen.

Malaysia tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf kewujudan Israel sebagai sebuah negara, jauh sekali mewujudkan hubungan diplomatik dengannya.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ia terbukti bahawa pasport Malaysia juga tidak boleh digunakan untuk perjalanan ke Israel.

“Itu kejayaan yang kita (PAS) dapat, dan sehingga ke hari ini seluruh Malaysia sama ada kerajaan dan pembangkang bersama-sama dalam menghidupkan perjuangan ini.

“Walaupun kita berbeza dari segi konsep agenda penyelesaian dua negara (two state solution) oleh Amerika Syarikat,” katanya dalam sidang media program Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dato’ Seri Utama Mukhriz Mahathir.

Terdahulu, Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata, penyelesaian dua negara iaitu kewujudan berasingan Palestin dan Israel hakikatnya tidak ada dalam ideologi atau falsafah pegangan gerakan Zionisme yang memerintah Israel itu ketika ini.

Muhammad Khalil berkata, ia sebaliknya Zionisme berpegang kepada strategi peluasan iaitu perjuangan rejim untuk meluaskan negara Israel.

“Ghayah perjuangan umat Islam hanya untuk mewujudkan satu sahaja negara iaitu Palestin, tanpa adanya negara bernama Israel, namun hadaf boleh dibincangkan,” katanya.

Sementara itu, Tuan Guru Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang, ketika ditanya usul spesifik isu tersebut di Parlimen, beliau berkata, PAS akan sentiasa memperjuangkannya hak itu dari semasa ke semasa.

“Apalagi apabila Israel telah mengancam untuk menggunakan senjata nuklear yang diharamkan sekarang, bukan sahaja dah ada senjata haram oleh undang-undang antarabangsa malah ia diguna oleh Israel,” katanya.

Terdahulu, media antarabangsa AFP melaporkan bahawa ketika ini terdapat sembilan negara bersenjata nuklear iaitu Amerika Syarikat, Rusia, Perancis, Britain, China, India, Pakistan, Korea Utara dan kemungkinan Israel.

Satu laporan oleh Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) pada Jun lalu menyatakan bahawa dengan peningkatan ketegangan geopolitik di dunia, kuasa nuklear sedang memodenkan senjata mereka. – HARAKAHDAILY 12/10/2024

- Advertisement -