
KENYATAAN Menteri Pendidikan di Parlimen pada 16 Oktober 2025 mengenai ‘subjek baharu Pendidikan Karakter’ menimbulkan kekeliruan umum, apabila pembentukan akhlak dilihat seolah-olah boleh dicapai melalui subjek tunggal.
Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan bahawa ia bukan subjek baharu, tetapi Program Pembentukan Karakter (PPK) ialah satu komponen di bawah Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) dengan aktiviti selama 60 minit seminggu.
Penjelasan ini membantu menjernihkan kekeliruan awal, namun turut membuka persoalan pokok apakah karakter boleh dibina melalui slot jadual, atau sepatutnya dihidupkan sebagai roh yang menjiwai seluruh sistem pendidikan?
Persoalan ini hanya dapat dijawab melalui bukti daripada pelaksanaan rintis. Sekiranya PPK sekadar menambah waktu pengajaran tanpa menyentuh budaya sekolah, kesannya mungkin bersifat kosmetik.
Tetapi jika rintisnya menunjukkan peningkatan nyata pada disiplin, kesejahteraan dan hubungan antara murid serta guru, keyakinan terhadap hala tuju baharu pendidikan negara dapat dibina.
Negara seperti Finland dan United Kingdom telah menunjukkan bahawa pembinaan nilai menjadi berkesan apabila ia dilaksanakan melalui ‘whole-school approach’.
Dalam pendekatan ini, nilai dihayati dalam semua mata pelajaran, dizahirkan melalui cara guru berinteraksi, dan dihidupkan dalam budaya sekolah.
Tradisi pendidikan Islam sendiri berasaskan prinsip yang sama di mana ilmu dan adab tidak pernah dipisahkan.
Dalam kedua-dua pendekatan ini, karakter bukan hasil silibus, tetapi hasil suasana dan teladan.
Fokus bukti rintis
Keberkesanan dasar dapat dinilai dengan lebih adil apabila hasil rintis tersedia untuk diperhalusi. Antara maklumat yang dapat membantu masyarakat memahami impak sebenar PPK termasuk:
Reka bentuk penilaian: pendekatan pra–pasca, kumpulan bandingan, serta kaedah analitik yang digunakan.
Skala rintis: bilangan sekolah yang terlibat, taburan bandar–luar bandar–pedalaman, serta saiz sampel murid dan guru.
Kesetiaan pelaksanaan: jam latihan guru, kadar kehadiran, bahan sokongan, dan mekanisme pemantauan.
Ukuran hasil murid: perubahan disiplin, kehadiran, motivasi, kesejahteraan emosi, dan hubungan murid–guru.
Ukuran hasil guru: persepsi beban kerja, keyakinan membimbing nilai, serta tahap penerimaan terhadap program.
Variasi kesan: mengikut jantina, sosioekonomi, jenis sekolah, dan lokasi.
Kos dan keberhasilan: anggaran kos per murid serta nilai untuk wang.
Pelajaran pelaksanaan: faktor kejayaan, cabaran, dan penambahbaikan selepas rintis.
Pengalaman lalu dengan pendidikan sivik dan kenegaraan menunjukkan bahawa dasar yang baik tidak akan bertahan tanpa budaya yang mendukungnya.
PPK berpotensi mengisi ruang itu, dengan syarat keberkesanannya dapat dibuktikan melalui dapatan lapangan, bukan sekadar melalui dokumen dasar.
Pelantikan Dr Mohd Azam Ahmad sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) membawa harapan baharu. Beliau berpengalaman luas di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sebelum berkhidmat di bahagian pembangunan profesionalisme guru.
Latar lapangan yang panjang ini memberi beliau kelebihan untuk memahami realiti sebenar pelaksanaan dasar di sekolah dan keperluan sebenar warga pendidik.
Gabungan pengalaman dasar dan operasi ini diharapkan dapat menjadikan pelaksanaan PPK lebih berpijak di bumi sekolah.
Penutup dan cadangan haluan
a. Laporan rintis yang komprehensif dapat memperkukuh keyakinan terhadap hala tuju PPK dan membina kefahaman bersama.
b. Dapatan yang dikongsi secara telus membolehkan sekolah memperhalusi amalan dan menyemai budaya yang lebih berkesan.
c. Dialog berterusan dengan guru dan ibu bapa menjadi kunci agar pembinaan karakter tidak terhenti pada silibus, tetapi hidup dalam ekosistem pendidikan sehari-hari.
Moga Allah SWT mengurniakan taufik dan hidayah kepada kepimpinan baharu KPM dalam mengemudi usaha ini dengan hikmah, agar pendidikan negara benar-benar kembali membina insan dan meneguhkan jiwa bangsa.
USTAZ NUSHI MAHFODZ
Pengerusi Lajnah Pendidikan & Pengajian Tinggi PAS Selangor
Ahli Dewan Negeri Semenyih – HARAKAHDAILY 19/10/2025




















