
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa pelaksanaan Islam dalam pentadbiran bukan penghalang kepada kemajuan, sebaliknya sering disalah tafsir oleh pihak tertentu yang menilai pembangunan berdasarkan ukuran material semata-mata.
Beliau berkata, ada segelintir pihak yang meragui keupayaan pemerintahan berteraskan Islam dengan alasan ia akan menyebabkan kemunduran, sedangkan tanggapan itu tidak berasas dan berpunca daripada kefahaman sempit terhadap makna kemajuan sebenar.
“Apabila mendengar tentang pelaksanaan Islam dalam pentadbiran, sering timbul keraguan. Ada yang berkata, ‘Boleh ke buat Islam? Kalau buat Islam, nanti tak maju.’ Kata-kata itu diulang, seolah-olah agama ini penghalang kepada kemajuan,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan turut mengimbas kembali persepsi negatif yang pernah dilemparkan terhadap pemerintahan Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan.
“Ada juga yang berkata pada zaman Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat memimpin Kelantan, ‘Kalau orang alim jadi Menteri Besar, negeri mundur. Tak ada pembangunan, tak ada kemajuan. Kalau beri kepada orang lain, baru maju.’
“Bila ditanya, ‘Awak ambil contoh di mana?’ Mereka menjawab, ‘Tengoklah Kelantan, banding dengan Selangor,’” ceritanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor, Kelantan.
Menurut bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan itu, perbandingan seperti itu tidak adil kerana setiap negeri mempunyai latar dan kekuatan ekonomi yang berbeza.
“Selangor maju sebab ia negeri yang menempatkan pusat pentadbiran negara. Di situlah segala urusan kerajaan, pejabat besar, kementerian dan syarikat antarabangsa bertumpu. Di situ juga ada pelabuhan, ada lapangan terbang, ada lebuh raya dan kilang besar.
“Maka duit banyak mengalir ke sana, bukan kerana kehebatan pemerintah semata-mata, tetapi kerana kedudukan dan kemudahan yang sedia ada,” terangnya.
Menurutnya, Kelantan pula berdepan kekangan besar dengan kedudukan yang jauh dari pusat pentadbiran serta kekurangan kemudahan asas seperti pelabuhan dan lebuh raya pada waktu itu.
“Ketika itu hanya ada satu kilang besar, Rohm Wako. Lebuh raya tiada, pelabuhan pun belum ada. Maka nak maju bagaimana, dengan segala sekatan daripada pusat, dan kedudukannya pula jauh di sempadan?
“Kita kalau memerintah Selangor, tentu senang. Tapi kalau yang dikatakan bijak pandai memerintah Selangor tu, cuba datang ke Kelantan, apakah mereka boleh buat lebih baik dengan sumber yang terbatas ini?” soalnya.
Beliau turut membandingkan situasi Pulau Pinang yang dianggap negeri maju tetapi kini berdepan cabaran kewangan.
“Dalam laporan akhbar empat bulan yang lalu, bekas Ketua Menteri mempersoal bagaimana Pulau Pinang tiba-tiba berhutang ratusan juta dalam tempoh kurang dua tahun?
“Bahkan menurut laporan itu lagi, kewangan Pulau Pinang berada di bawah penelitian selepas didedahkan bahawa negeri itu mengambil pendahuluan RM100 juta dari Putrajaya.
“Adakah Pulau Pinang berdepan kemerosotan kewangan sehingga terpaksa memohon pendahuluan daripada kerajaan pusat bagi menampung kekangan belanjawan?” tempelaknya.
Jelas beliau, kemajuan atau kesusahan sesebuah negeri tidak boleh diukur hanya berdasarkan siapa yang memerintah, tetapi harus dilihat secara menyeluruh termasuk aspek pentadbiran dan sumber ekonomi.
“Ramai orang tidak nampak kesejahteraan dan kemakmuran lain. Pandangan seperti lalat. Lalat tidak hinggap pada bunga, tidak suka pada minyak wangi. Ia mencari tempat busuk, sampah, dan najis.
“Begitulah perangai manusia yang hanya suka mencari kelemahan dan keburukan, sedang kebaikan yang banyak di sekelilingnya tidak pernah dipandang,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/10/2025











