
BANGI: Kerajaan Negeri Kelantan sangat menekankan aspek pendidikan sebagai asas utama dalam membangunkan masyarakat dan negeri secara keseluruhannya.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, berkata, pendidikan menjadi keutamaan kerajaan negeri sehingga 93 sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.
“Kerajaan negeri mahu memastikan setiap anak Kelantan mendapat akses pendidikan berkualiti yang berteraskan nilai Islam serta membentuk generasi berilmu dan berakhlak,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perdana Siswa Kelantan 2025 di sebuah hotel, di sini.
Beliau berkata, pengiktirafan yang diberikan kepada 11 mahasiswa anak Kelantan daripada pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) itu merupakan usaha kerajaan untuk meraikan kejayaan mereka dalam akademik, kepimpinan dan khidmat kepada masyarakat.
“Islam meletakkan ilmu di tempat yang tinggi dan Allah mengangkat darjat orang-orang yang berilmu,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri percaya kejayaan mahasiswa bukan sahaja menggambarkan kecemerlangan individu, tetapi turut mencerminkan keberkesanan dasar pendidikan dan bimbingan keluarga.
Beliau turut berpesan kepada mahasiswa agar terus tekun menuntut ilmu serta menjadikan kecemerlangan akademik sebagai tanda bakti kepada ibu bapa dan negeri.
“Cara untuk berbakti kepada ibu bapa adalah dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga kalian menjadi pelajar cemerlang,” jelasnya.
Majlis tersebut turut menyaksikan Muhammad Medina Munawwarahmathuddin Al-Haq Mohamed dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima Anugerah Perdana Siswa 2025.
Manakala Persatuan Mahasiswa Anak Kelantan (PERMAKU) dari Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dipilih sebagai Persatuan Anak Negeri Terbaik.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan, Dr Mohammad Uzir Omar serta wakil-wakil institusi pengajian tinggi. – HARAKAHDAILY 13/10/2025






















