Projek, usahawan tani disatukan PAS Lenggong

Mohd Nazir Shahidin menunjukkan bongkah cendawan sambil memberikan penerangan kepada 10 peserta Lawatan Sambil Belajar Ke Projek Cendawan Mohd Nazir di Kamoung Chepor, Lenggong anjuran LPKM PAS Lenggong.
- Advertisement -

LENGGONG: Lajnah Pertanian dan Keterjaminan Makanan (LPKM) PAS Kawasan Lenggong bakal mewujudkan rangkaian usahawan bagi membantu projek-projek yang diusahakan para pengusaha berpotensi berdaya saing sehingga mampu berterusan memenuhi permintaan.

- Advertisement -

Ketua Sektor Pertaniannya, Mohd Nor Ismail berkata, bentuk dan kaedah rangkaian itu termasuklah perbincangan membabitkan tapak dan pembangunan asas projek, benih, modal dan pemasaran.

Menurutnya, bagi menjayakan projek-projek yang bakal diusahakan, LPKM PAS Lenggong telahpun melaksanakan beberapa projek contoh untuk dijadikan model dan panduan serta induk rangkaian.

“Kita telah pun ada beberapa projek contoh untuk dijadikan model panduan serta induk kepada rangkaian yang akan dibina,” katanya kepada Harakahdaily ketika melawat projek Cendawan yang diusahakan Mohd Nazir Shahidin di Kampung Chepor, dekat sini baru-baru ini.

Lawatan sambil belajar anjuran LPKM PAS Lenggong itu, turut disertai Pengerusi Lajnah Pembangunan Ekonomi (LPE), wakil Dewan Pemuda PAS Lenggong, Nailul Amaley Ibrahim Khan dan wakil Dewan Muslimat PAS Lenggong, Siti Rodhiah Idris.

Mohd Nor berkata, selain projek cendawan, sebelum itu LPKM juga telah mengadakan lawatan serta dialog ke projek tanaman serai, ternakan ikan keli, tilapia dan patin yang diusahakan beliau sendiri di kawasan rumahnya di Kampung Pulau Cheri, Luat, di sini.

Jelasnya, mengusahakan projek-projek seperti itu walaupun tidak berskala besar, ianya dapat juga menampung keperluan kepada beberapa permintaan daripada kedai-kedai runcit, gerai-gerai makan dalam kampung dan sekitarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk kampung, khususnya anak-anak muda supaya mengusahakan projek-projek tanaman kontan, tanaman kekal, ternakan ikan, ayam, itik dan lain-lain.

“Mulakan dulu dengan skala kecil-kecilan, supaya kita ada pengalaman dan mendapat ilmu berguna daripadanya sebelum hendak mengusahakannya secara besar-besaran sekiranya ada hasrat ke arah itu.

“Sekiranya setiap penduduk ada projek-projek pertanian, ternakan dan industri asas tani, walaupun secara kecil-kecilan, kita akan berjaya mengurangkan kebergantungan kepada hasil usaha daripada bangsa asing.

“Dan apa yang penting, kita tidak mahu ditindas terus menerus ketika kos sara hidup semakin tinggi sekarang ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/10/2025

- Advertisement -