
KUALA LUMPUR: Bantuan tunai seperti STR dan SARA, yang sebelum ini dikenali sebagai BR1M, BSH, BPN dan kini BKM, sememangnya penting untuk meringankan beban hidup rakyat berpendapatan rendah.
Namun, persoalannya, adakah dasar ini benar-benar memperkukuh mobiliti sosial rakyat atau sekadar melegakan kesusahan sementara?
Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) berkata, matlamat sebenar bantuan tunai bukan sekadar menyara hidup, tetapi harus mampu meningkatkan taraf hidup penerima.
“Mengambil inspirasi daripada sistem zakat dalam Islam iaitu memberikan zakat kepada orang miskin supaya dapat keluar daripada kepompong kemiskinan dan mengubah daripada penerima zakat kepada pembayar zakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Tambah beliau, bantuan yang disalurkan tanpa penyasaran tepat bukan sahaja tidak efisien, malah berisiko mengalihkan sumber daripada kumpulan paling memerlukan.
“Lebih membimbangkan, pendekatan yang bersifat ‘menyelimuti semua’ ini bercanggah dengan hasrat sistem PADU, yang sepatutnya membolehkan bantuan kerajaan dirangka berasaskan data isi rumah dan keperluan sebenar rakyat.
“Kajian Khazanah Research Institute (2024) membuktikan bahawa bantuan tunai hanya berkesan apabila direka dengan baik, disasar tepat dan dipantau rapi,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, sistem bantuan negara kini masih terpecah antara agensi dan cenderung bersifat reaktif, menyebabkan ramai penerima kekal dalam kitaran kebergantungan.
“Oleh itu, dasar bantuan tunai mesti diiringi strategi keluar yang berperingkat, menghubungkan penerima dengan latihan kemahiran, peluang pekerjaan dan pengawalan kos sara hidup yang lebih menyeluruh.
“Itulah ukuran sebenar kejayaan dasar, apabila rakyat bukan lagi bergantung kepada kerajaan, tetapi mampu berdikari dan maju ke hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/10/2025











