
KUALA LUMPUR: Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff menggesa agar pelaksanaan projek tebatan banjir di Kelantan diberi keutamaan yang sama seperti usaha Kerajaan Thailand di sempadan, bagi memastikan keselamatan rakyat dan pembangunan negeri tidak terjejas.
Beliau menyambut baik peruntukan RM2.2 bilion bagi 43 projek tebatan banjir di seluruh negara, termasuk projek tebatan Sungai Golok amat penting bagi Kelantan, negeri yang saban tahun berdepan risiko banjir besar.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas beberapa langkah positif yang diumumkan. (Antaranya) Mitigasi Banjir dan Pengurusan Sungai Golok.
“Peruntukan sebanyak RM2.2 bilion bagi 43 projek tebatan banjir di seluruh negara adalah langkah yang sangat dialu-alukan. Namun, saya menyeru agar pelaksanaan projek ini diberi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menerusi sektor pertanian, Wan Martina memuji peruntukan RM2.62 bilion bagi subsidi padi dan RM1.1 bilion melalui Agrobank untuk mekanisasi pertanian.
“Saya berharap program naik taraf sistem pengairan dan pemulihan sawah terbiar turut dilaksanakan di Kelantan. Negeri ini berpotensi kekal sebagai ‘jelapang makanan’ Pantai Timur.
“Justeru kerjasama erat antara agensi persekutuan dan kerajaan negeri amat diperlukan bagi menjamin keselamatan makanan negara,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, isu bekalan air bersih juga diberi perhatian.
“Walaupun terdapat projek Loji Rawatan Air Machang dan program RM3 bilion untuk mengurangkan Air Tidak Berhasil (NRW), beberapa kawasan masih mengalami tekanan air rendah.
“Saya menyeru agar penyelesaian jangka panjang dirangka dengan sokongan peruntukan tambahan supaya setiap isi rumah dapat menikmati bekalan air bersih dan berkualiti,” katanya.
Beliau turut menyentuh kepentingan pembangunan infrastruktur, termasuk mempercepatkan pelaksanaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sehingga ke Kota Bharu serta menyiapkan Central Spine Road (CSR) mengikut jadual.
“Projek jalan luar bandar dan kemudahan asas yang diumumkan dalam belanjawan ini mampu merancakkan kegiatan ekonomi di kawasan pedalaman.
“Namun, saya ingin menegaskan keperluan untuk mempercepatkan pelaksanaan LPT sehingga ke Kota Bharu serta menyiapkan CSR mengikut jadual. Rakyat sudah lama menantikan kemudahan ini dan sebarang kelewatan akibat masalah kontraktor wajar dielakkan,” ujarnya.
Beliau mencadangkan perhatian khusus terhadap Rantau Panjang dalam pembangunan bandar sempadan dan galakan pelancongan domestik.
“Bandar ini berpotensi besar menjadi pusat aktiviti ekonomi dan pelancongan domestik jika disokong dengan program pembangunan yang bersasar.
“Saya mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan inisiatif khas untuk merangsang semula ekonomi peniaga tempatan di Rantau Panjang yang kini agak lesu, selain memperkukuh kemudahan asas dan landskap bandar sempadan bagi menarik lebih ramai pelancong dalam negara,” katanya.
Menurutnya juga Kelantan mempunyai banyak kawasan pelancongan yang boleh dimajukan secara mampan.
“Saya berharap kerajaan dapat menyalurkan peruntukan bagi pembangunan infrastruktur pelancongan di kawasan seperti Pantai Bachok, Pengkalan Chepa dan Tumpat yang memiliki potensi besar menarik pelancong domestik.
“Peningkatan kemudahan awam, jalan akses dan promosi bersepadu akan mampu menjana peluang pekerjaan baharu serta menghidupkan ekonomi setempat,” katanya.
Beliau turut menggesa untuk diperluaskan pelaburan semikonduktor, digital dan kecerdasan buatan (AI) di Kelantan.
“Saya mencadangkan agar pusat latihan teknologi hijau dan AI diwujudkan di negeri ini bagi melahirkan tenaga kerja tempatan yang mampu bersaing dalam ekonomi digital,” katanya.
Beliau berkata, Belanjawan 2026 mempunyai potensi besar untuk membawa perubahan positif kepada rakyat dan negeri Kelantan.
“Saya percaya bahawa dengan kerjasama yang erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, aspirasi pembangunan seimbang serta peningkatan taraf hidup rakyat dapat direalisasikan sepenuhnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/10/2025











