
KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaleha Mustafa tidak membalas surat jemputannya bagi membolehkan beliau membuktikan pemesongan fakta dalam sesi penerangan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Menurutnya, surat bertarikh 9 Oktober itu dihantar dengan penuh hormat bagi memberi peluang kepada menteri berkenaan meneliti bukti ingin dikemukakannya secara bersemuka, namun tiada sebarang maklum balas diterima dalam tempoh tiga hari yang diberikan.
“Sebaliknya beliau membuat ‘posting’ di Facebook (petang tadi). Saya berbuat demikian kerana menghormati kedudukan seorang Menteri dan saya berhasrat mengemukakan bukti terus kepadanya dan bukan di media sosial,” ujarnya dalam media sosial miliknya hari ini.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Zaliha menafikan kenyataan Annuar bahawa beliau berbohong kepada Parlimen dan memesongkan fakta ketika sesi penerangan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu.
Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai fitnah serius yang boleh mencalarkan reputasinya serta merendahkan integriti Parlimen dan menegaskan semua fakta dikemukakan adalah berdasarkan dokumen rasmi kerajaan dan meminta Annuar mengemukakan bukti jika mendakwa sebaliknya.
Walau bagaimanapun, mantan Setiausaha Agung Umno itu berkata, beliau juga menerima jemputan daripada beberapa Ahli Parlimen untuk hadir ke bangunan Parlimen bagi memberi pencerahan mengenai isu berkenaan kepada wakil rakyat.
“Oleh kerana Menteri tidak menerima pelawaan saya, saya seterusnya memilih untuk menerima pelawaan Ahli Parlimen dan menyampaikan kepada mereka pemesongan fakta yang telah dilakukan oleh Menteri.
“Selepas itu, jika perlu dan sesuai, barulah saya berkongsi maklumat dan fakta berkaitan dengan khalayak dan media,” jelasnya.
Annuar turut memaklumkan bahawa beliau akan hadir ke bangunan Parlimen esok, Selasa, 14 Oktober, untuk bertemu beberapa Ahli Parlimen bagi mengemukakan bukti mengenai pemesongan fakta dalam penerangan yang dibuat oleh Menteri berkenaan.
“Saya bersetuju dengan Datuk Seri Dr Zaleha bahawa ‘integriti Dewan Rakyat tidak boleh dipermainkan dengan tuduhan yang tidak bersandarkan asas’.
“Saya harap Menteri akan mempertahankan prinsip ini selepas saya kemukakan bukti esok, insya-Allah,” katanya yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN).
Annuar sebelum ini dilapor memberi notis kepada Zaliha berhubung dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu bahawa pengambilan tanah Kampung Sungai Baru telah dilakukan secara tergesa-gesa membabitkan tempoh tiga hari pada 2021.
Ia susulan penjelasan dibuat Zaliha ketika sesi penerangan Hala Tuju Pembangunan Kampung Baru di Dewan Rakyat Khamis lalu. – HARAKAHDAILY 13/10/2025











