
KULIM BANDAR BAHARU: Kerajaan Negeri Kedah di bawah gagasan The Greater Kedah mengumumkan hasrat untuk menubuhkan sebuah Pusat Sains Kedah dan akan melancarkan program ‘1000 Saintis Muda’ pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, ia bagi mempersiapkan anak-anak Kedah merentasi kaum dan agama untuk menjadi peneraju dalam bidang teknologi tinggi.
Menurut beliau juga, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk membangunkan modal insan selaras dengan Teras 4 dalam agenda The Greater Kedah.
Menurutnya, portfolio beliau akan memberikan sumbangan awal sebanyak RM50,000 bagi menjayakan program 1000 Saintis Muda yang bertujuan untuk mengenal pasti, memupuk dan membimbing bakat-bakat muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di setiap daerah.
“Anak-anak Kedah yang lahir di bumi Kedah ataupun bersekolah di negeri Kedah harus dipersiapkan untuk menjadi sebahagian daripada cerita kebangkitan sebuah negeri bernama Kedah Darul Aman, Insya-Allah.
“Portfolio saya dengan ini memberikan sumbangan awal sebanyak RM50,000 untuk kita bangunkan 1000 Young Scientist Programme, Insya-Allah, bagi bersama kita merealisasikan impian anak Kedah yang hebat dan berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Kedah di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, di sini semalam.
Dr Haim Hilman turut menyeru kerjasama strategik ‘quadruple helix’ melibatkan kerajaan, industri, institusi pendidikan dan komuniti bagi memastikan impian tersebut tercapai.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk menubuhkan Pusat Sains Kedah, dengan harapan ianya dapat direalisasikan di Kulim Hi-Tech Park menerusi sokongan padu daripada pemain industri di kawasan tersebut.
“Kita nak tubuh Kedah Science Center kalau boleh di Kulim High Tech Park ini, Insya-Allah,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra.
Dalam pada itu ujarnya, agenda pembangunan ini adalah untuk semua anak-anak Kedah tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama, selaras dengan kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Mad Nor.
“Kita mahu melihat anak Melayu menjadi hebat suatu hari nanti. Kita menantikan anak Cina, anak India, anak Siam yang lahir di negeri Kedah menjadi tokoh-tokoh hebat suatu hari nanti.
“Ketepikan perbezaan kita. We have talked about our differences for years. Now it’s time to stop it, put a full stop and build the nation together,” tegasnya.
Beliau berharap para profesional seperti jurutera dan ketua pegawai eksekutif (CEO) dapat meluangkan masa untuk memberi inspirasi kepada generasi muda agar mereka bercita-cita tinggi untuk menceburi kerjaya profesional pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 13/10/2025











