
ALOR SETAR: Kerajaan negeri melancarkan TV Kedah sebagai wadah rasmi untuk memaparkan maklumat yang tepat dan telus, sekali gus menangkis laporan media arus perdana yang sering kali didakwa kurang memberi liputan malah bersifat negatif.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, banyak program dan aktiviti kerajaan negeri tidak mendapat liputan sewajarnya daripada saluran televisyen utama, menyebabkan maklumat tidak sampai kepada rakyat secara menyeluruh.
“Kita sedia maklum bahawa ada banyak program-program di bawah portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) masing-masing dan tak semua diberi liputan yang baik oleh media arus perdana, cetak dan elektronik.
“Seperti yang tuan-tuan sedia maklum, aktiviti kerajaan negeri ini kurang mendapat liputan TV-TV utama, jarang masuk, yang negatif masuklah,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran TV Kedah di Wisma Darul Aman di sini, semalam. Turut diadakan majlis Pelancaran Kedah Digital Blueprint.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkata, pengaruh televisyen dalam membentuk pemikiran masyarakat adalah sangat besar, namun saluran tersebut telah sekian lama berisiko menjadi alat propaganda pihak pemerintah.
Jelasnya, dalam era teknologi maklumat hari ini, kerajaan negeri mengambil inisiatif mewujudkan televisyen internet sendiri bagi memastikan hebahan maklumat yang lebih pantas dan sahih.
“Hebahan maklumat palsu bersaing sama pantas dengan maklumat yang benar. Jika kita tidak boleh sama sekali membenarkan media yang menyesatkan terus membawa kesesatan kepada orang ramai.
“Untuk itu, kita lancarkan TV Kedah pada hari ini sebagai saluran wadah rasmi media kerajaan negeri untuk memaparkan maklumat berkaitan program dan aktiviti kerajaan negeri secara tepat dan telus kepada orang ramai,” katanya lagi.
Muhammad Sanusi yakin TV Kedah akan menjadi sumber maklumat penting dan paling tuntas bagi rakyat negeri ini, selain mampu memberi cabaran sihat kepada stesen televisyen sedia ada.
Sebagai langkah tambahan, beliau turut mengumumkan rancangan kerajaan negeri untuk membina struktur TV LED di beberapa lokasi tumpuan awam di Alor Setar dan bandar-bandar lain.
“Adalah menjadi harapan agar rakyat Kedah seluruhnya akan jadi warga yang lebih bermaklumat dengan mendapat maklumat yang benar melalui media rasmi kerajaan negeri. Ini penting untuk menangkis penyebaran maklumat palsu yang sudah seperti tidak terkawal sejak akhir-akhir ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/10/2025




















