
KANGAR: Pengamal Undang-undang, Nazrul Nazir memberi peringatan tegas berhubung ancaman Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang bakal dibentangkan semula dalam sidang Parlimen pada 6 Oktober ini.
Beliau mengingatkan bahawa rakyat akan sekali lagi berhadapan dengan himpunan besar pada 4 Oktober nanti bagi membantah akta itu.
Menurutnya, bacaan akta tersebut telah ditangguhkan pada sidang lalu selepas bantahan rakyat namun kemungkinan besar akan dibaca semula pada sidang kali ini.
Beliau menceritakan pengalamannya sebagai peguam yang berurusan dengan tanah dan penjualan hartanah.
Katanya, rakyat boleh hilang hak milik tanah warisan hanya kerana kepentingan tertentu di bawah akta berkenaan.
“Rumah kita cantik, ini rumah kita, tanah kita, geran atas nama kita. Kita diwarisi daripada ayah, datuk dan moyang kita.
“Tengah kita seronok duduk di rumah sambil menikmati keindahan sawah padi, tiba-tiba ada pihak datang nak ambil tanah kita dan robohkan rumah kita,” katanya ketika berucap dalam program Liqa’ Fikri Pemuda PAS Perlis dan Pra Himpunan Bantah URA yang berlangsung di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) di sini, kelmarin.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Tuan Guru Ahmad Ali, yang menyampaikan amanat kepada anak muda tentang etika sebagai amilin PAS dan tanggungjawab mempertahan hak rakyat.
Nazrul turut mengingatkan bahawa dalam sidang parlimen yang lalu telah berlaku dua demonstrasi, satu pihak membantah URA dan memorandum diterima oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Manakala jelas beliau, satu lagi demo pihak yang menyokong URA dengan memorandum diterima oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
“Kita baru selesai muktamar, dan kali ini kita hendak berdemo pula. Walaupun jaraknya agak singkat, kita melihat ia satu keperluan kerana akta ini benar-benar mengancam kehidupan rakyat,” tegas beliau.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS negeri, Haziq Asyraf Dun menegaskan komitmen penuh pihaknya untuk bersama rakyat menolak akta zalim itu.
“Alhamdulillah, telah selesai program ‘Liqa’ Fikri Pemuda PAS dan Pra Himpunan Bantah URA’. Setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Guru Ahmad Ali atas perkongsian serta Saudara Nazrul Nazir atas pencerahan berkenaan URA,” katanya.
Beliau mengumumkan bahawa Dewan Pemuda PAS Perlis akan turun bersama ribuan rakyat ke Himpunan Mega Tolak URA pada 4 Oktober ini di Kuala Lumpur.
“Insya-Allah, kita akan bersama-sama rakyat mempertahan hak tanah dan rumah mereka daripada digadai di bawah akta yang menindas ini,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri. – HARAKAHDAILY 2/10/2025











