Pemuda simbol kekuatan umat, pewaris perjuangan Islam

Tuan Guru Ahmad Ali
- Advertisement -

KANGAR: Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Tuan Guru Ahmad Ali menegaskan bahawa pemuda adalah simbol kekuatan umat dan pewaris perjuangan Islam yang mesti dibimbing dengan disiplin serta manhaj yang benar.

- Advertisement -

Mengambil ibrah daripada firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 143, beliau menekankan maksud ‘ummatan wasatan’ sebagai umat pertengahan yang adil dan teguh.

Katanya, umat pertengahan adalah lambang kekuatan, ibarat matahari yang pada awalnya samar tetapi semakin terang hingga ke puncak dhuha, sukar dipandang kerana begitu kuat cahayanya.

Jelas beliau, Rasulullah SAW sendiri wafat pada usia 63 tahun, manakala usia pertengahan iaitu sekitar 31 tahun adalah usia pemuda yang paling kuat, laju dan agresif.

“Pemuda ibarat air deras dari puncak gunung, mampu memecah empangan jika tidak dikawal, pemuda perlu ada disiplin, kawalan dan saluran agar tenaga tidak terbabas,” ujar beliau pada Program Liqa’ Fikri Pemuda PAS Perlis yang berlangsung di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) di sini, kelamrin.

Mantan pensyarah Universiti Islam Syarif Ali, Brunei itu menambah, adil merupakan syarat diterima kesaksian dan syarat utama perawi hadis, maka pemuda mesti berdisiplin, adil dan teguh agar dihormati oleh masyarakat.

Beliau juga merujuk firman Allah SWT dalam ayat 143 dari Surah al-Baqarah yang menekankan asas keadilan.

Pakar dalam bidang usul fiqh menegaskan bahawa dalam kerja jamaah, asasnya mesti berpandukan al-Quran dan hadis.

Jelas beliau, baginda Nabi SAW sendiri berpesan bahawa ‘mintalah pertolongan untuk menunaikan hajat dengan menyimpan rahsia’, maka perancangan dalam jamaah adalah rahsia yang wajib dijaga, bukan dibocorkan.

Berbeza pandangan adalah lumrah, namun kata Tuan Guru, jangan sampai menimbulkan permusuhan.

Katanya, keputusan syura mesti dihormati dan tidak boleh diubah selepas diputuskan, sebagai contoh Rasulullah SAW sendiri mengambil baiah sebagai janji setia, dan sesiapa yang mati tanpa baiah maka matinya seperti mati jahiliah.

Tuan Guru turut menegaskan bahawa jangan sekali-kali diajak orang melanggar baiah.

“Saya sendiri ketika dilantik sebagai Pesuruhjaya, saya baiah. Maka baiah itu wajib dijaga,” tegasnya.

Kesatuan fikrah menurut beliau akan melahirkan kesatuan amal manakala tarbiyah pula mesti ikut manhaj jamaah, bukan ikut selera masing-masing.

Katanya yang mengingatkan firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 159 yang memerintahkan musyawarah, namun apabila keputusan dibuat maka wajib dilaksanakan dengan penuh komitmen.

Beliau turut menyebut firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 133 tentang Nabi Ya‘qub AS yang menyoal anak-anaknya sebelum wafat, lalu mereka berjanji akan terus menyembah Tuhan Yang Esa.

Pesan Tuan Guru, demikianlah pemuda mesti sedar bahawa mereka adalah generasi penyambung perjuangan.

“Kerja mesti lebih banyak daripada cakap. Tinggalkan perkara sia-sia dan isi hidup dengan al-Quran serta manhaj tarbiyah.

“Kalau rasa tak selesa baca komen-komen di media sosial, baik baca al-Quran. Tinggalkan yang tidak ada faedah. InsyaAllah perjuangan ini akan diberkati Allah,” ujarnya yang juga Ahli Majlis Syura Ulamak PAS. – HARAKAHDAILY 2/10/2025

- Advertisement -