
ALOR SETAR: Pelancaran TV Kedah merupakan sebahagian manifestasi kesungguhan kerajaan negeri untuk memastikan rakyat mendapat gambaran yang jelas dan sahih mengenai segala dasar, pencapaian serta inisiatif yang dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan negeri, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, dalam era maklumat yang pantas berubah, rakyat memerlukan akses kepada sumber berita yang tepat dan mudah diperolehi.
Menurutnya, platform media rasmi itu akan berfungsi sebagai saluran utama bagi menyiarkan liputan acara rasmi, sidang media, dokumentari dan infografik secara terus daripada kerajaan kepada masyarakat.
“Kesemuanya dihasilkan bagi memastikan rakyat mendapat gambaran yang jelas dan sahih tentang dasar, pencapaian serta inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Pelancaran TV Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.
Jelasnya, kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf peranan media sebagai medium penting dalam menyampaikan maklumat yang sahih, pantas dan berkesan.
Justeru, TV Kedah diharap akan menjadi ‘one-stop centre’ maklumat yang bukan sahaja memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat, tetapi juga menutup ruang kepada penyebaran berita tidak benar.
Tambah beliau, usaha strategik ini melibatkan kerjasama padu pelbagai agensi termasuk Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri Kedah (BTMK), Unit Media Kedah (UMK) dan Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA).
“Kita mengharapkan TV Kedah ini akan menjadi pemangkin kepada keterhubungan yang lebih erat antara kerajaan dan juga rakyat, di samping memperkukuh imej Negeri Kedah di peringkat nasional,” katanya.
Ujarnya lagi, inisiatif tersebut bakal memberi manfaat kepada promosi produk tempatan dan sektor pelancongan, selari dengan kempen Tahun Melawat Kedah, dengan penyampaian maklumat yang jelas mengenai tarikan yang ada di negeri ini. – HARAKAHDAILY 2/10/2025











