Himpunan Tolak URA: Manifestasi kuasa rakyat

Dr Najihatussalehah Ahmad
- Advertisement -

​IPOH: Dewan Muslimat PAS Negeri Perak menzahirkan sokongan penuh terhadap penganjuran Himpunan Mega Tolak Akta Pembaruan Semula Bandar (URA), menyifatkannya sebagai wadah penting bagi rakyat untuk menyuarakan bantahan terhadap dasar yang menekan serta bercanggah dengan kepentingan umum.

- Advertisement -

​Ketuanya, Dr Najihatussalehah Ahmad, berkata URA membawa implikasi besar terhadap kesejahteraan masyarakat, khususnya kepada golongan wanita, anak muda, dan isi rumah berpendapatan rendah.

​“Rakyat mempunyai hak untuk menyatakan pendirian mereka secara aman dan demokratik, kerana suara rakyat adalah suara keramat,” ujarnya.

​Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, menambah bahawa dasar tersebut berpotensi meningkatkan beban kos hidup rakyat, menghakis prinsip keadilan sosial, serta menjejaskan kesejahteraan komuniti marhaen.

​“Sebagai suara wanita Islam, kami menolak sebarang dasar yang menindas rakyat bawahan dan hanya menguntungkan golongan berkepentingan,” ujarnya lagi.

​Sehubungan itu, pihaknya menyeru seluruh lapisan masyarakat, terutamanya para muslimat, untuk bersama-sama hadir menjayakan himpunan ini secara aman, tertib, dan berdisiplin bagi menghantar isyarat yang jelas bahawa URA ditolak oleh majoriti masyarakat.

​Beliau turut mendesak agar kerajaan segera mendengar suara rakyat yang dibawa melalui himpunan ini, di samping menilai semula dasar URA yang telah menimbulkan keresahan meluas.

Ujarnya, kerajaan perlu membuka ruang dialog secara telus bersama rakyat dan badan masyarakat sivil bagi membincangkan perkara ini.

​“Dewan Muslimat PAS Negeri Perak menyeru agar semua pihak mengekalkan semangat ukhuwah, disiplin dan adab dalam berhimpun. Kita bersatu demi memastikan hak rakyat terus terbela dan tidak digadai kepada kepentingan sempit,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 2/10/2025

- Advertisement -