Ekonomi Kelantan catat pertumbuhan 3.6 peratus 2024

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sultan Muhammad V menzahirkan rasa syukur apabila ekonomi Kelantan terus berkembang positif dengan merekodkan pertumbuhan 3.6 peratus pada 2024 berbanding 2.6 peratus pada tahun sebelumnya.

- Advertisement -

Baginda bertitah, semua sektor ekonomi negeri menunjukkan prestasi positif dengan sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

“Beta berbangga kerana meskipun dunia berdepan ketidaktentuan kewangan dan geopolitik, Kelantan tetap mencatat pertumbuhan yang baik hasil usaha bersama semua pihak,” titah baginda pada Istiadat Singgahsana sempena ulang tahun hari keputeraan baginda ke-56 di Istana Balai Besar, di sini semalam.

Dalam masa sama, baginda menegaskan potensi besar Kelantan sebagai salah sebuah negeri utama pengeluaran makanan negara perlu terus dimanfaatkan.

“Selaras dengan aspirasi Kerajaan Persekutuan, semua pihak perlu menjadikan Kelantan sebagai jelapang makanan negara dengan memperkukuh hasil pertanian dan ternakan.

“Selain itu, penerokaan industri hiliran juga perlu diberi tumpuan kerana ia mampu menambah nilai kepada produk tempatan serta meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa,” titah baginda.

Baginda turut menekankan usaha memperkukuh sekuriti makanan negara sebagai agenda penting yang bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Kelantan, malah negara secara keseluruhannya.

“Usaha ini penting bagi memastikan tahap jaminan makanan negara kekal kukuh dan rakyat terus sejahtera,” titah baginda.

Mengulas Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bertema Melakar Semula Pembangunan yang dibentangkan Julai lalu, baginda menyambut baik inisiatif yang memberi fokus kepada Kelantan.

“Antaranya pembangunan Hab Ekonomi Biru, penaiktarafan infrastruktur bunkering, industri pembinaan dan pembaikan kapal serta menaik taraf Pelabuhan Tok Bali.

“Beta menyeru agar Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta berpadu usaha merealisasikan agenda ini ibarat serumpun bak serai, sesusun bak sirih,” titah baginda.

Dalam aspek pelancongan, baginda mengingatkan kerajaan negeri supaya memanfaatkan peluang menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan memperkenalkan pelbagai produk baharu.

“Produk pelancongan berpotensi tinggi termasuk pelancongan bandar, kebudayaan, warisan sejarah, kesenian, gastronomi, pesisir pantai, eko, agro dan geo-pelancongan.

“Beta percaya rakyat Kelantan yang terkenal dengan keramahan dan nilai hospitaliti tinggi mampu melonjakkan pelancongan berasaskan komuniti sebagai produk masa depan negeri,” titah baginda.

Baginda juga menekankan kepentingan aspek kebersihan, keindahan landskap dan kemudahan awam bagi menyerlahkan citra negeri yang indah dan menarik di mata pelancong.

“Peranan pihak berkuasa tempatan amat penting memastikan kawasan pelancongan sentiasa terurus, bersih dan mesra pengunjung,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Muhammad V menghargai usaha kerajaan negeri dalam memartabatkan generasi belia sebagai nadi penggerak masa depan.

“Beta berharap pembangunan ekosistem anak muda diperkukuh merangkumi kepimpinan, keusahawanan dan teknologi digital, di samping membendung gejala sosial termasuk penyalahgunaan dadah,” titah baginda.

Baginda menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana menjadi negeri pertama melaksanakan larangan penjualan vape dan shisha sejak 2015.

Sultan Muhammad V juga berterima kasih kepada agensi penguat kuasa yang melaksanakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap pengaruh global dan media sosial yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat.

“Nilai kesantunan, hormat-menghormati dan adab dalam berbahasa perlu sentiasa diperkasakan agar masyarakat, khususnya generasi muda, terus berpegang kepada budaya bangsa meskipun berdepan arus globalisasi yang mencabar,” titah baginda.

Baginda juga menzahirkan rasa gembira dengan perkembangan pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau yang bakal menjadi gelanggang utama Sukan Malaysia (SUKMA) 2028.

“Beta menyeru Kerajaan Persekutuan mempercepatkan penyediaan infrastruktur jalan penghubung ke kompleks tersebut termasuk Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama serta penaiktarafan jalan-jalan susur ke Bukit Merbau,” titah baginda.

Sultan Muhammad V turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan penjawat awam negeri serta Persekutuan yang sentiasa mencurahkan idea dan tenaga demi kemajuan serta keharmonian Kelantan. – HARAKAHDAILY 30/9/2025

- Advertisement -