
KUALA TERENGGANU: Setiap sen wang rakyat adalah amanah yang mesti dijaga dan dibelanjakan dengan penuh tanggungjawab tanpa mengira jumlahnya sama ada kecil atau besar.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, setiap perbelanjaan kerajaan perlu memberi manfaat terus kepada rakyat dan sebarang kelemahan wajib diperbetulkan segera.
“Setiap sen duit rakyat adalah amanah. Tak kira sama ada RM10 ribu, 5 juta, 40 juta, 100 juta atau 1 bilion semuanya adalah tanggungjawab yang bakal dipersoalkan. Tak ada istilah, alaaaa… sikit saja! Itu pun nak bising!
“Apa yang penting ialah, setiap sen yang dibelanjakan perlu dipastikan manfaatnya wajib sampai kepada rakyat. Kalau berlaku apa-apa kecacatan, ia mesti diperbaiki segera dan dibuat tindakan pembetulan,” katanya.
Menurut beliau, tindakan segera yang diambil pihak berkuasa terhadap insiden runtuhan tembok penghadang di Batu Rakit wajar dipuji kerana kerja pembaikan dilaksanakan tanpa melibatkan kos tambahan daripada kerajaan.
“Kita berterima kasih kepada pihak berwajib kerana insiden runtuhan tembok penghadang di Batu Rakit telah diambil tindakan pembaikian segera,” katanya.
Bagaimanapun katanya, masih terdapat beberapa projek besar yang menelan ratusan juta ringgit wang rakyat masih belum mempunyai penyelesaian tuntas.
“Rakyat masih menunggu jawapan berhubung projek Taman Ilmu di Tembila, Kompleks Bebas Cukai Tasik Kenyir, Pulau Bayas serta projek bas amphibia yang menjadi gajah putih. Semuanya melibatkan kerugian wang rakyat dengan jumlah yang sangat besar.
“Runtuhan Stadium Sultan Mizan juga diperbaiki dengan kos dari Kerajaan Negeri melibatkan jumlah ratusan juta, bukan dengan biaya dari kontraktor yang membina Stadium,” ujarnya.
Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi menasihatkan semua pihak agar berpada-pada dalam berpolitik dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
“Nasihat ambe (saya) berpada-padalah dalam bermain politik. Satu jari menunding kepada lawan, empat jari menunding kepada diri sendiri. Rakyat sudah letih dan penat dengan politik yang tak berkesudahan. Mari kita pakat-pakat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
“Orang tua pesan, kalau berbalah biar berpada-pada. Mana tahu suatu hari kita akan berbaik dan boleh duduk bersama sebagai rakan sekerja,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/9/2025











