
IMAM Syafie adalah orang yang sangat terbuka. Mampu kritik diri sendiri. Walau ramai zaman sekarang suka nisbahkan diri dengan As-Syafie, tapi jarang yang punya ‘cognitive flexibility’ (keluasan berfikir) seperti beliau.
Dalam kitab al-Umm, beliau berani kata ‘dulu aku berpandangan sekian-sekian, maka ketahuilah pandangan itu salah’. Maksudnya beliau berani ‘u-turn’ bila merasa salah. Ulama terkemudian seperti Imam Baihaqi popularkan konsep Qaul Qadim (Iraq) vs Qaul Jadid (Mesir).
Lebih hebat, beliau menyalahi adat manusia normal!
Manusia biasanya akan capai tahap ‘stagnant’ bila masuk umur 40, setelah mereka hadapi ‘mid life crisis’. Mereka akan jadi konservatif; berpegang dengan apa yang dah dipercayai.
Imam Syafie tinggi sifat ‘openness to experience’; terbuka kepada pengalaman baru. Dari sejarah hidupnya, boleh kata bab keterbukaan beliau sangat ekstrem.
Kesedaran epistemology beliau menyumbang kepada kerangka fikir ini. Beliau terkenal dengan ungkapan ‘Pendapatku benar tetapi berpotensi salah, dan pendapat orang lain salah tetapi berpotensi benar’ mencerminkan ‘intellectual humility’; sifat rendah hati intelektual yang sangat jarang dimiliki.
Ulama silam memang tinggi sifat sebegini. Ibn Qayyim menukilkan dari semua Imam Mazhab makalah seumpama yang pernah Imam Nawawi nukil dari Imam Syafie: ‘Jika kau jumpa hadis sahih, maka itulah mazhabku’.
Tak ramai yang berani lawan norma pegangan sendiri walau dah lepasi umur 40. Antara yang terkenal adalah Imam Ghazali. Dia hadap ‘mid life crisis’ lama. Sebelum umur 40 dia banyak berdebat sebab fokus falsafah.
Nak masuk umur 40, lidah dia kelu, lalu menyendiri hingga muncul kembali selepas umur 40 dengan karya al-Munqiz Min al-Dholal. Selepas itu hasilkan karya agung Ihya’ Ulumuddin.
Bila ulama zamannya kritik banyak hadis tak kena, dia berani belajar dari kesilapan. Akhir hayat, beliau meninggal berbaring dalam keadaan Sahih Bukhari atas dadanya. Sakaratulmaut pun masih study.
Itulah kelemahan kita. Dah pegang satu benda yang kita ‘study’ dulu, kira itulah kebenaran mutlak. Tak nak ‘unlearn relearn’ semula dah. Nak-nak bila dah masuk umur 40.
Dua cerita di atas adalah ulama yang diiktiraf sebagai mujaddid kurun. Antara sebab mereka diiktiraf membawa pembaharuan universal, mereka berani bawa pembaharuan terhadap diri sendiri.
Saya nak bawa contoh dua orang tokoh gerakan Islam yang tinggi keterbukaan dan sentiasa memperbaharui pemikiran. Walau tak sampai level mujaddid mutlak, tapi mereka perlu diiktiraf. Apatah lagi kerana keberanian berpandangan baharu walau lebih umur 40.
Syed Qutb, awal usianya adalah sosialis. Tapi umur 43, beliau mendekati Ikhwan Muslimin (IM) sejak dengar berita kesyahidan Hasan al-Banna. Dari situlah beliau jumpa jawapan kenapa ideologi materialistik (sosialisme, kapitalisme) gagal bangunkan nilai manusiawi. Beliau jumpa Islam melalui IM lalu membina ‘world view’ baharu berasaskan Islam.
Dari kritik sosial kepada idea hakimiah, hinggalah akhir hayat beliau jadi begitu kesufian hingga keluar karya terakhir Maalim Fi Tariq. Hasil pengalaman berada dalam IM, dipenjara, diblacklist dan sebagainya. Openness to experience persis Imam Ghazali.
Seorang lagi adalah tokoh hidup; Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Awal usianya sangat lantang bawa perubahan sosial, hingga terkenal satu Malaysia dengan Fenomena Haji Hadi. Ideanya adalah batas iman dan kufur.
Anjakan paradigma yang sering beliau bawa mendepani zaman. Bila orang dah boleh terima sekularisme boleh jatuh kufur, dia bawa pandangan kesatuan pula. Muzakarah PAS-Umno, Unity Government, BPMS, Muafakat Nasional hinggalah ke peringkat antarabangsa seperti Taqrib Mazahib dan Salaf-Khalaf.
Awal dulu beliau banyak berpegang kepada pandangan IM, tapi sejak dekad lalu beliau berani kritik pandangan dan pendekatan IM yang dikira sudah ‘obselete’.
Pandangan beliau yang saya kira paling terbuka adalah ungkapan yang saya dengar dengan telinga saya sendiri:
“Jangan ingat PAS ni kekal selama-lamanya. PAS hanya makhluk. Setiap makhluk pasti ada awal dan akhirnya.”
“Orang kita baca buku haraki macam al-Quran Hadis. Tak boleh tu. Ada benda sesuai di zamannya. Ada benda dah tak boleh pakai.”
Saya bukan nak samakan mereka dengan Imam Syafie atau Ghazali, tetapi sekadar mencontohkan bagaimana keterbukaan itu masih wujud dalam zaman moden.
Saya tahu ramai tak boleh terima. Mula-mula kagum dengan Imam Syafie yang dah diterima Universal. Tapi bila petik Syed Qutb dan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, yang anti-haraki dan taik politik tak sehaluan mesti ramai melenting.
Itu tanda kalian dah capai tahap ‘stagnation’. Tepu. Tak berani terima maklumat baru untuk tajdid pegangan diri.
Lebih malang kalau kalian masih belum sampai 40 tapi dah terlalu taasub dengan pandangan yang terbentuk lebih awal.
Secara biologi, umur muda ni ‘neuroplasticity’ kita patutnya tinggi. Tapi mungkin sebab tak amalkan cara pemakanan sunnah dan gaya hidup aktif, keseimbangan biologi rosak lalu menaikkan ego, melemahkan intelektualiti dan menternak kemalasan.
Akhirnya hilang ‘intellectual humility.’
Wallahualam. Sedia dikritik.
ALANG IBN SHUKRIMUN
8 Rabiul Akhir 1447 – HARAKAHDAILY 30/9/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











