
PADANG BESAR: Liga Bola Sepak DUN Titi Tinggi 2025 yang dilancarkan bukan sahaja memperkenalkan pemain serta jersi baharu, bahkan menjadi wadah penting dalam menyemarakkan semangat kesukanan dan penyatuan masyarakat melalui bola sepak.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Liga berkenaan menegaskan bahawa bola sepak bukan sekadar sebuah sukan, tetapi lambang kekuatan, disiplin dan semangat kekitaan rakyat.
“Saya amat menghargai inisiatif penganjuran Liga Bola Sepak yang dicetuskan oleh YB Titi Tinggi ini kerana ia membuka ruang kepada bakat-bakat muda untuk diketengahkan.
“Melalui platform ini, anak-anak muda dapat menonjolkan kebolehan, meningkatkan disiplin, membina semangat berpasukan serta mengelak daripada terjebak dengan gejala tidak sihat,” katanya optimis.
Mohd Shukri mengingatkan agar setiap perlawanan dianggap sebagai medan untuk memberi yang terbaik demi pasukan, selain menekankan kepentingan bermain dengan disiplin, semangat kesukanan serta menghormati lawan.
“Jersi yang disarung bukan sekadar pakaian tetapi simbol maruah dan semangat juang yang harus dijunjung oleh setiap pemain,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.
Kepada barisan pengurusan dan jurulatih pula, beliau menegaskan bahawa perancangan yang teliti serta usaha gigih diyakini mampu membawa pasukan Titi Tinggi melangkah lebih jauh.
Pesanan tersebut jelas mencerminkan harapan tinggi agar seluruh pasukan bersatu tenaga, membina kekuatan bersama dan menjadikan kejayaan sebagai matlamat yang mampu dicapai dengan kerja keras serta kesungguhan.
Mohd Shukri menegaskan bahawa kejohanan ini adalah titik tolak dalam mengembalikan semangat bola sepak Perlis dengan membina generasi pelapis yang mampu diangkat sebagai pasukan hebat pada masa hadapan.
Beliau turut menyentuh mengenai pendekatan Perlis dalam membina pasukan bola sepak yang mantap tanpa bergantung kepada pemain import.
“Insya-Allah walaupun Perlis tidak ambil pemain import, kita akan jadi pelopor kepada pasukan lain bahawa kita boleh kuat dengan anak negeri.
“Kalau ambil import terlalu ramai, orang tidak kata itu kekuatan Perlis, tapi kekuatan import. Kita akan cungkil bakat dari negeri Perlis sendiri,” tegasnya.
Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Perlis itu turut memberi perbandingan dengan pencapaian atlet negara, Abdul Latiff Romly, yang berjaya meraih pingat emas dan memecah rekod dunia.
“Kalau Abdul Latiff boleh pecah rekod dunia, takkan bola sepak kita tak boleh. Insya-Allah kita mampu melakar sejarah,” ujarnya lagi sambil menyeru pemain agar berdisiplin dan menjauhi pergaduhan di padang.
Menteri Besar turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja, rakan strategik serta sukarelawan yang menjayakan liga ini.
Menurutnya, sokongan padu masyarakat amat bermakna dalam memajukan bola sepak di negeri Perlis, khususnya di kawasan Titi Tinggi.
Majlis penuh bersejarah itu berlangsung di Dewan Serbaguna Felda Mata Air di sini dengan pengisytiharan rasmi Liga Bola Sepak DUN Titi Tinggi oleh Mohd Shukri.
“Dengan seruan Siru ‘ala barakatillah, saya dengan sukacitanya merasmikan Liga Bola Sepak DUN Titi Tinggi 2025,” katanya dengan doa agar pasukan yang bertanding mencapai kejayaan membanggakan. – HARAKAHDAILY 30/9/2025











