
PADANG BESAR: Le Tour de Langkawi Malaysia 2025 (LTdL) menjadi sorotan apabila Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan melepaskan pelepasan rasmi perlumbaan di Padang Besar Street, di sini semalam.
LTdL 2025 Peringkat Ke-2 bermula dari Padang Besar menuju Kepala Batas sejauh 166.1 kilometer.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli yang mengiringi keberangkatan Raja Muda berkata, LTdL sinonim dengan landskap indah dan sokongan padu rakyat tempatan.
Menurut beliau, ia bukan sahaja menjadi platform pencungkil bakat pelumba tempatan, malah turut mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa.
“Kehadiran pasukan ternama dunia menjadikan edisi kali ini medan ujian sebenar kepada pelumba tempatan untuk mengasah kemampuan di samping menimba pengalaman berharga.
“Dengan saingan yang semakin mencabar dan liputan meluas, LTdL 2025 diyakini terus menjadi medium memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi sukan antarabangsa.
“Selain itu memperkenalkan keindahan negeri-negeri yang dilalui kepada dunia,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.
Turut mengiringi keberangkatan baginda Raja Muda ialah barisan Exco Kerajaan Negeri serta Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri.

“Alhamdulillah, kita berasa amat berbangga kerana Perlis menjadi tuan rumah kepada permulaan Peringkat Kedua LTdL 2025.
“Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran ini. Semoga LTdL terus menyerlahkan Malaysia di mata dunia,” ujar Mohd Shukri.
Terdahulu, perlumbaan berprestij LTdL 2025, membuka tirai dengan penuh meriah apabila pelumba pasukan XDS Astana Team, Matteo Malucelli, melakar kemenangan bergaya di peringkat pertama sejauh 120 kilometer mengelilingi Pulau Langkawi.
Kemenangan itu sekali gus memberi isyarat awal bahawa edisi kali ini bakal menyajikan saingan sengit melibatkan pelumba elit dunia.
LTdL edisi ke-29 yang berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober ini mempertaruhkan lapan peringkat dengan jarak keseluruhan sejauh 1,244.7 kilometer, bermula di Langkawi dan berakhir di Kuala Lumpur.
Sebanyak 22 pasukan profesional dunia dengan penyertaan 129 pelumba dari lebih 20 negara menyertai cabaran yang menjadi antara kejohanan berbasikal paling berprestij di rantau Asia ini. – HARAKAHDAILY 30/9/2025












