
KANGAR: Warga industri pembinaan di Perlis diseru agar memanfaatkan sepenuhnya segala program, latihan dan peluang yang disediakan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bersama Kerajaan Persekutuan demi memperkukuh daya saing negeri.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Pejabat CIDB Negeri Perlis di Kangar Jaya, di sini semalam.
Baginda menegaskan bahawa kontraktor, perunding mahupun pelajar wajar mengambil peluang daripada inisiatif CIDB bukan sahaja untuk memperluas pengetahuan tetapi juga bagi mendukung aspirasi pendigitalan negara.
“Industri pembinaan di Perlis kini berkembang dengan semakin pesat, berdaya tahan dan berpotensi besar untuk terus menyumbang kepada agenda pembangunan negara.
“Angka-angka yang direkodkan setakat ini jelas membuktikan sektor ini menjadi antara pemacu utama pertumbuhan sosioekonomi negeri,” titah baginda.
Turut hadir Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan serta Speaker Kerajaan Negeri Perlis, Rus’sele Eizan.
Raja Muda bertitah, pejabat baharu ini diyakini akan menjadi lembaran baharu dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan CIDB kepada rakyat dan pihak industri.
Baginda juga menyeru agar warga kerja CIDB menjadikan fasiliti moden ini sebagai pemangkin untuk memperkukuh penguatkuasaan, memperluas program latihan serta TVET.
Di samping mengaplikasikan teknologi baharu seperti Building Information Modelling (BIM) bagi menyokong transformasi digital industri pembinaan.
Sementara itu, menurut BERNAMA pada sidang media, Ahmad Maslan memaklumkan terdapat lebih 130,000 kontraktor berdaftar di seluruh negara setakat ini, dengan 2,076 daripadanya berada di Perlis.
Katanya, jumlah projek yang melibatkan kontraktor berdaftar di negeri ini telah melebihi RM1.1 bilion.
“Setakat ini, projek yang tertakluk kepada levi bernilai RM500,000 ke atas telah direkodkan berjumlah RM689.3 juta di Perlis, dengan kutipan levi mencecah RM861,715.
“Daripada jumlah ini, 31 peratus merupakan projek swasta manakala 69 peratus adalah projek kerajaan,” katanya.
Pembukaan pejabat baharu CIDB ini diyakini akan memperkukuh kedudukan Perlis sebagai antara negeri yang mampu bersaing dalam sektor pembinaan sekali gus menyumbang lebih besar terhadap pertumbuhan ekonomi negeri dan negara. – HARAKAHDAILY 30/9/2025












