
GAMBARAN umum kitab
Karya agung Mādhā Khasira al-‘Ālam bi Inḥiṭāṭ al-Muslimīn adalah hasil tulisan al-‘Allāmah Abū al-Hasan al-Nadwī (1914–1999) mula digarap sekitar tahun 1944 dan selesai pada 1947.
Ia diterbitkan terlebih dahulu dalam bahasa Urdu sebelum penulis berangkat menunaikan haji pada tahun yang sama.
Buku ini lahir daripada kesedaran mendalam mengenai realiti kejatuhan umat Islam dan kesannya terhadap dunia.
Maulana al-Nadwī melihat bahawa kejatuhan umat bukan sekadar tragedi biasa, tetapi sebuah malapetaka kemanusiaan sejagat.
Idea pokok (الفكرة المحورية) buku ini ialah bahawa kemunduran umat Islam membawa kerugian besar kepada seluruh dunia.
Menurut Maulana al-Nadwī, kepimpinan umat Islam dalam sejarah pernah mengangkat manusia daripada kejahilan (الجاهلية) kepada cahaya petunjuk, daripada penindasan kepada keadilan, serta daripada perpecahan kepada persaudaraan.
Namun, apabila umat Islam meninggalkan ajaran agama dan keciciran daripada kepimpinan, dunia terjerumus kembali ke dalam jahiliyyah moden (الجاهلية الحديثة) yang berteraskan materialisme, kapitalisme, peperangan, dan keruntuhan moral.
Maulana al-Nadwī menegaskan bahawa punca utama kejatuhan umat ialah kecintaan kepada dunia (حب الدنيا) dan kelalaian daripada prinsip Islam.
Benarlah sabda Rasulullah SAW:
يُوشِكُ أن تَدَاعَى عليكم الأممُ من كلِّ أُفُقٍ، كما تَدَاعَى الأَكَلَةُ إلى قَصْعَتِها.
فقيل: يا رسولَ اللهِ، أمن قِلَّةٍ نحن يومئذٍ؟
قال: لا، بل أنتم يومئذٍ كثير، ولكنكم غُثاءٌ كغُثاءِ السَّيْل، ولينزعنَّ اللهُ من صدورِ عدوِّكم المهابةَ منكم، وليقذفنَّ اللهُ في قلوبِكم الوَهْنَ.
فقيل: يا رسولَ اللهِ، وما الوَهْنُ؟
قال: حُبُّ الدُّنيا وكراهيةُ الموتِ.
“Hampir sahaja seluruh bangsa mengerumuni kamu dari segenap penjuru, sebagaimana orang ramai mengerumuni hidangan mereka di atas bekasnya.”
Lalu seorang Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah kerana jumlah kita sedikit ketika itu?”
Baginda menjawab: “Tidak. Bahkan ketika itu kamu ramai, tetapi kamu seperti buih-buih di atas aliran air. Allah akan mencabut rasa gerun daripada dada musuh-musuh terhadap kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahn.”
Seorang Sahabat bertanya lagi: “Wahai Rasulullah, apakah itu al-wahn?” Baginda SAW menjawab: “Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian.” (Sunan Abī Dāwūd, Kitāb al-Malāḥim, hadis no. 4297)
Umat lebih mengutamakan keselesaan hidup, lalai dalam pendidikan dan ilmu, lemah dalam aspek ketenteraan serta hilang semangat jihad dan ijtihad.
Keadaan ini menjadikan umat Islam kehilangan syarat kelayakan untuk memimpin manusia sebagaimana yang pernah berlaku pada kurun awal Islam.
Buku ini juga mengkritik Barat yang walaupun maju dalam teknologi dan politik, tetap muflis dari sudut rohani dan akhlak.
Maulana al-Nadwī menyatakan bahawa setiap kemajuan Barat hanya mempercepatkan manusia ke arah kerosakan, yakni menuju kekacauan sosial (الفوضى الاجتماعية), keruntuhan moral (الانحطاط الخلقي), dan kebankrapan rohani (الإفلاس الروحي).
Sebagai jalan keluar, Maulana al-Nadwī menawarkan gagasan bahawa kepimpinan dunia mesti kembali kepada Islam.
Umat Islam harus membina semula kekuatan mereka dengan gabungan al-jihād (الجهاد) dan al-ijtihād (الاجتهاد) iaitu usaha pembaharuan.
Ini termasuk membangunkan sistem pendidikan yang menyatukan al-Quran dan Sunnah dengan ilmu moden yang bermanfaat, serta membina kekuatan ekonomi, ketenteraan, dan sosial yang berteraskan nilai Islam.
Kesimpulannya, mesej utama buku ini ialah bahawa kejatuhan umat Islam bukan sahaja merugikan mereka sendiri, tetapi turut memudaratkan seluruh dunia.
Jalan untuk memperbaiki keadaan hanyalah dengan mengembalikan peranan Islam sebagai pemimpin rohani dan moral dunia.
Islam, menurut al-Nadwī, satu-satunya sistem yang mampu mengangkat manusia daripada kegelapan jahiliyyah moden kepada cahaya keadilan, ilmu, dan peradaban yang seimbang.
Bersambung….
ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN – HARAKAHDAILY 30/9/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.












