
ALOR SETAR: Seorang penerima bantuan Tabung Tunku Mahmud menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kedah dan mencadangkan agar sebarang kenaikan gaji minimum graduan perlu mengutamakan sektor kritikal terlebih dahulu.
Lim Kee Zun (UKM-04), berkata, beliau sendiri merupakan antara mahasiswa yang menerima manfaat daripada tabung pendidikan diwujudkan oleh kerajaan negeri itu.
”Saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang mendalam kepada Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Mad Nor kerana telah memberi saya bantuan Tabung Tunku Mahmud.
”Saya sendiri sebagai penerima limpah rahmat ini sebanyak empat angka daripada Yang Amat Berhormat (YAB). Saya akan bergraduasi pada bulan November nanti,” katanya ketika sesi perbahasan usul pada Persidangan Mahasiswa Darul Aman di Wisma Darul Aman, di sini kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul yang dibawa oleh Mohamad Harith Irfan Mohd Sadri (UniMAP-02) berkaitan cadangan agar gaji minimum graduan dinaikkan kepada RM3,000 menjelang tahun 2028.
Menurut Kee Zun, walaupun kenaikan gaji akan merancakkan ekonomi domestik, ia perlu dilaksanakan secara berfasa dan mengikut bidang keutamaan.
”Saya nak menarik perhatian kerajaan pusat atau negeri, beri tumpuan terlebih dahulu kepada pakar-pakar kesihatan dan profesional seperti jururawat.
”Ini supaya kita dapat menggantikan tenaga pekerja asing dan pada masa sama dapat meningkatkan peluang untuk graduan muda tempatan,” jelasnya.
Persidangan julung kali itu menghimpunkan seramai 50 perwakilan terpilih dari 21 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) dari seluruh negara, termasuk dari Jordan.
Untuk rekod, Tabung Tunku Mahmud diwujudkan pada 1 Mei 2008 hasil ilham Almarhum Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah ketika itu, bagi membantu anak-anak Kedah melanjutkan pengajian. – *HARAKAHDAILY 24/9/2025*




















