‘Payung besar’ untuk menyatukan seluruh orang Melayu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan cadangan penubuhan ‘payung besar’ perlu difahami secara menyeluruh agar tidak membawa kepada perpecahan orang Melayu.

Beliau berkata, sambutan terhadap cadangan ‘payung besar’ amat menggalakkan, namun apabila tiap mereka yang ingin menjadi Perdana Menteri mendirikan ‘payung besar’ masing-masing, akan wujud dua, tiga atau lebih ‘payung besar’.

“Dan orang Melayu pun akan sokong dan jadi anggota payung-payung ini. Seperti dengan keanggotaan dalam parti, orang Melayu akan berpecah. Maka ‘payung besar’ pun memecah belah orang Melayu,” ujarnya dalam kenyataan di media sosial miliknya.

Dr Mahathir menegaskan, orang Melayu perlu berfikir sama ada mahu ada satu sahaja ‘payung besar’ atau beberapa ‘payung besar’, sama ada mahu bersatu atau terus berpecah.

“Percayalah jika ada lebih dari satu ‘payung besar’, hasilnya perpecahan dan kekalahan,” ujar bekas Perdana Menteri dua kali itu.

Menurutnya, pengundi Melayu mempunyai cukup kawasan untuk menang dan mendirikan kerajaan, namun bukanlah niat orang Melayu untuk menubuhkan kerajaan 100 peratus Melayu.

“Seperti dengan Perikatan dahulu, kerajaan campuran boleh didiri dengan kaum Cina, India dan suku kaum lain,” katanya.

Terdahulu pada 4 Jun lalu, Dr Mahathir dilaporkan mengumumkan penubuhan jawatankuasa sekretariat orang Melayu sebagai ‘payung besar’ untuk menghimpunkan orang Melayu.

Beliau berkata, platform itu bertujuan menyelesaikan masalah orang Melayu serta mengembalikan penguasaan mereka dalam kerajaan.

Pertemuan itu turut disertai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, dengan Mahathir menegaskan gerakan berkenaan terbuka kepada ahli Umno yang bersetuju dengan perjuangan tersebut. – HARAKAHDAILY 24/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -