Kelantan Naib Johan keseluruhan KESSUMA 2025

- Advertisement -

LANGKAWI: Kontinjen Kelantan meraih gelaran Naib Johan keseluruhan pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-24 Tahun 2025 yang berlangsung di Stadium Kompleks Sukan LADA, di sini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat menzahirkan rasa bangga terhadap usaha dan komitmen atlet pelajar yang berjaya mengharumkan nama negeri.

“Alhamdulillah, para pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi dengan mencatat kemenangan membanggakan. Tahniah kepada pasukan dan teruskan momentum ini demi mengharumkan nama negeri Kelantan,” katanya.

Kontinjen Kelantan berjaya membawa pulang enam pingat keseluruhan dengan kutipan dua emas dan empat gangsa di mana pingat emas disumbangkan menerusi acara sepak takraw dan bola tampar lelaki.

Manakala empat gangsa diraih melalui acara bola sepak dan ping pong kategori lelaki serta badminton dan bola tampar perempuan.

Pengarah Yayasan Islam Kelantan, Zulkifle Ab Rahman, hadir bersama kontinjen negeri menerima piala kemenangan bagi acara sepak takraw dan bola tampar lelaki.

Majlis penutupan kejohanan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Program tahunan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan kerjasama Jabatan Agama dan Yayasan Islam negeri-negeri ini diadakan secara bergilir melalui Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Sekolah-sekolah Agama.

Kejohanan yang berlangsung dari 14 hingga 17 September itu menghimpunkan atlet sekolah menengah agama dari seluruh negara dengan mempertandingkan pelbagai acara sukan antarnya acara ping pong, badminton, bola tampar, sepak takraw, bola sepak dan bola jaring. – HARAKAHDAILY 22/9/2025

- Advertisement -