Persidangan Siswa Darul Aman julung kali diadakan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, buat julung kalinya menganjurkan Persidangan Mahasiswa Darul Aman bertempat di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

- Advertisement -

​Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, inisiatif tersebut dicetuskan sendiri oleh Menteri Besar yang mahu anak-anak muda dilatih dan dipersiapkan untuk menjadi pemimpin negeri serta negara pada masa hadapan.

​“Menteri Besar sendiri yang mahukan anak muda dilatih untuk dipersiap jadi pemimpin negeri dan negara. Menerusi platform ini, mereka akan berasa dekat dan boleh menyalurkan pandangan yang bernas.

​“Ini adalah satu proses untuk saling kenal sesama anak Kedah yang berbeza latar belakang tetapi disatukan di tempat yang sama. Para pemikir terbaik yang lahir daripada persidangan ini diharap akan menjadi panduan dan rujukan dalam penggubalan polisi negeri, insya-Allah,” ujarnya.

​Dr Haim Hilman yang juga Penaung Majlis Ikatan Mahasiswa Darul Aman (MINDA) berkata, beliau amat yakin dan percaya bahawa persidangan ini merupakan salah satu inisiatif terbaik kerajaan negeri.

​Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri itu berkata, persidangan julung kali ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan mahasiswa.

​Persidangan tersebut menghimpunkan seramai 50 perwakilan terpilih dari 21 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) dari seluruh negara, termasuk dari Jordan.

​Pemilihan perwakilan dibuat berdasarkan beberapa kriteria antaranya mahasiswa anak Kedah, mempunyai pengalaman menyertai persidangan dan menjadi wakil kepada persatuan anak Kedah di universiti masing-masing. – HARAKAHDAILY 22/9/2025

- Advertisement -