10 usul dikemuka Persidangan Siswa Darul Aman

- Advertisement -

ALOR SETAR: Isu penstrukturan semula Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi antara 10 usul utama yang dibentangkan dalam Persidangan Mahasiswa Darul Aman 2025 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

- Advertisement -

Pembukaan ​persidangan dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi Negeri, Prof Dr Haim Hilman Abdullah dan dikendalikan Azizuddin Anuar bertindak selaku Speaker Dewan dengan perbahasan daripada perwakilan universiti seluruh negara.

Bagi tema ​Pendidikan Tinggi dan Mahasiswa wakil daripada Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Muhammad Fathi Mohd Fitri, mencadangkan agar PTPTN distruktur semula.

Beliau mencadangkan skim bayaran balik mengikut unjuran pendapatan serta pelepasan bayaran untuk graduan kelas kedua atas.

​Wakil Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Haikal Muhamad Radzi,pula membawa usul agar semua pelajar daripada keluarga B40 diberi jaminan penempatan di kolej kediaman bagi meringankan beban kos sara hidup mereka.

​Dalam pada itu, wakil Universiti Malaya (UM), Ahmad Shafiq Sari, mengusulkan supaya semua Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengehadkan pengambilan pelajar antarabangsa kepada maksimum 10 peratus bagi memberi keutamaan kepada pelajar tempatan.

​Dua lagi usul di bawah tema sama adalah penubuhan Skim Kebajikan Mahasiswa di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dan cadangan pengecualian cukai kerajaan kepada semua mahasiswa.

​Para perwakilan turut menyentuh isu-isu semasa negara di bawah tema Sosial dan Pembangunan Insan serta tema Ekonomi dan Sosioekonomi.

Selain itu, ​perwakilan juga mencadangankan untuk menaikkan gaji minimum graduan kepada RM3,000 sebulan menjelang tahun 2028.

​Usul-usul lain termasuklah desakan agar kerajaan menangani isu guna tenaga tidak sepadan (underemployment) dan pengangguran graduan serta pengwujudan Dasar Anti-Buli di semua institusi pendidikan.

Juga kajian semula terhadap mekanisme penyasaran subsidi dan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA). – HARAKAHDAILY 22/9/2025

- Advertisement -