Desak kenaikan cukai tanah 2026 ditangguhkan

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff mendesak supaya keputusan kerajaan negeri menaikkan kadar cukai tanah bermula 1 Januari 2026 ditangguhkan dahulu pelaksanaannya.

Beliau menggesa agar kenaikan cukai tanah hingga mencecah 200 peratus yang diumumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dilakukan kajian semula secara lebih adil dan berperingkat dengan penangguhan sekurang-kurangnya sehingga tahun 2029.

Tegas beliau, kajian mesti mengambil kira perbezaan kategori hartanah serta zon bandar, pinggir bandar dan desa, dengan sebarang semakan semula kadar mestilah berpaksikan data sebenar, telus dalam pelaksanaan, serta berlandaskan keadilan sosial.

Menurut beliau, struktur pengelasan yang digunapakai ketika ini juga menimbulkan persoalan keadilan di mana mengklasifikasikan kawasan hanya sebagai bandar atau desa adalah terlalu mudah dan tidak mengambil kira realiti kehidupan masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua itu menjelaskan, ada kawasan yang masih berkarakter kampung kini diletakkan di bawah kategori bandar, sekali gus dikenakan kadar lebih tinggi walaupun taraf hidup penduduknya masih sederhana.

“Begitu juga dengan perbezaan antara rumah kampung, rumah kos rendah, bangunan bercampur, perniagaan dan industri – semuanya tidak wajar dipukul rata dengan kadar yang sama,” ujar beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.

Jelasnya, pembangkang tidak menolak keperluan untuk menambah hasil negeri, namun ia tidak boleh dilakukan dengan cara membebankan rakyat pada waktu yang sukar ini dan kerajaan negeri perlu mendengar suara rakyat serta menilai semula keputusan itu.

Katanya, kerajaan negeri mesti melaksanakan pendekatan yang lebih berhati-hati, telus serta berperikemanusiaan dengan sebarang langkah diambil mestilah menepati prinsip keadilan fiskal dan tidak menambahkan lagi penderitaan rakyat Pulau Pinang.

“Kenaikan mendadak ini bakal memberi kesan langsung kepada ratusan ribu pemilik tanah di negeri ini, termasuk mereka daripada kalangan berpendapatan rendah dan sederhana yang sudah pun terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Walaupun kerajaan berhujah bahawa kadar cukai tanah tidak pernah disemak selama 30 tahun, realitinya bilangan hartanah di Pulau Pinang telah berkembang pesat sepanjang tempoh tersebut, khususnya dengan pembinaan rumah bertingkat.

“Pertambahan unit hartanah ini sepatutnya telah menyumbang kepada peningkatan hasil cukai tanpa perlu melaksanakan kenaikan kadar yang begitu drastik,” ujarnya mewakili ADUN-ADUN Perikatan Nasional (PN)

Menurut beliau, lebih membimbangkan, rakyat kini sudah pun menanggung kesan daripada peluasan dan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa sejak 1 Julai 2025 daripada 6 kepada 8 peratus, manakala skopnya diperluas.

“Walaupun barangan asas masih dikecualikan, kesan berantai kenaikan SST ini menyebabkan kos pengangkutan, pembekalan dan operasi meningkat, lalu harga barangan harian juga turut naik.

“Dengan beban cukai sedia ada, pelaksanaan kenaikan cukai tanah secara mendadak hanya akan menambahkan lagi kesempitan hidup rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -