Keadilan sosial dalam Islam (Siri Akhir)

- Advertisement -

LATAR zaman Sayyid Qutb

Karya al-‘Adālah al-Ijtimā‘iyyah fī al-Islām ditulis dalam suasana Perang Dingin (pasca Perang Dunia Kedua) ketika dunia berdepan pertarungan ideologi:

a.Amerika Syarikat membawa fahaman liberalisme kapitalis (John Locke & Adam Smith).
b.Soviet Union membawa fahaman komunisme sosialis (Karl Marx).

Sayyid Qutb menolak kedua-dua aliran ini kerana berpaksikan akal manusia yang terbatas. Beliau menegaskan hanya sistem Islam yang berpandukan wahyu mampu menjadi penyelesaian.

- Advertisement -

Pengalaman beliau tinggal di Amerika (1949–1950) membolehkan beliau melihat sendiri kelemahan masyarakat Barat yang hanya membina tamadun berasaskan akal manusia, materialistik dan mengalami keruntuhan roh serta nilai.

Sudut pandang keadilan sosial

1. Dari sudut undang-undang.

Dalam Islam, terdapat konsep Wilāyah al-Maẓālim iaitu perlantikan hakim yang adil, dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang berselisih.

Contoh terbaik adalah pada zaman Khalifah Umar al-Khaṭṭāb RA, apabila beliau menghukum anak gabenor Mesir, Amru bin al-‘Āṣ, kerana memukul seorang rakyat biasa dalam satu perlumbaan.

Berbeza dengan realiti di Malaysia, jawatan hakim dan Peguam Negara dilantik atas nasihat Perdana Menteri. Persoalannya, adakah mereka berani mendakwa Perdana Menteri jika berlaku kesalahan?

Contoh lain, dalam kes kemalangan jalan raya, pesalah membayar denda kepada mahkamah, bukan kepada mangsa atau keluarganya!

Hal ini berbeza dengan prinsip Islam yang menekankan keadilan kepada mangsa.

2. Dari sudut ekonomi.

Sistem ekonomi Islam berasaskan lima cabang utama, antaranya hasil bumi (al-Fai‘) dan zakat.

Menurut Sayyid Qutb, zakat adalah sistem cukai Islam yang mempunyai tiga kewajipan utama:

1. Wajib kutip. Kerajaan wajib mengutip zakat daripada umat Islam.

2. Wajib bayar. Rakyat wajib menunaikan zakat.

3. Wajib edar. Zakat mesti diagihkan kepada 8 golongan asnaf.

Sayyid Qutb menekankan bahawa zakat bukan hanya soal material, tetapi juga lambang kebebasan hati dan tanggungjawab sosial.

Sabda Nabi SAW:

خُذْها مِن أغنيائِهم ورُدَّها على فُقرائِهم

“Ambillah (zakat) daripada orang kaya mereka, dan kembalikan kepada orang miskin dalam kalangan mereka.” [Hadis Riwayat Imam al-Bukhari, no. 1395, 1458]

Melalui zakat, orang miskin memperoleh kuasa beli, lalu mereka berbelanja di kedai orang kaya. Si kaya pula mengeluarkan zakat, dan ekonomi berputar secara adil. Dengan cara ini, harta tidak hanya berlegar dalam kalangan orang kaya sahaja.

Firman Allah SWT:

{ … كَیۡ لَا یَكُونَ دُولَةَۢ بَیۡنَ ٱلۡأَغۡنِیَاۤءِ مِنكُمۡۚ … }

“Supaya harta itu tidak hanya beredar di kalangan orang-orang kaya sahaja di antara kamu.” [Surah al-Ḥashr: 7]

Namun, di Malaysia, umat Islam dibebankan dengan zakat dan cukai LHDN secara serentak. Tambahan pula, sistem subsidi, SST atau GST seringkali bercelaru dan lebih menekan rakyat miskin.

Kesimpulan

Kehidupan manusia hanya akan sejahtera apabila berpandukan sistem Islam. Firman Allah, hadis Nabi SAW dan sejarah membuktikan hal ini.

Sabda Rasulullah SAW kepada ‘Adī bin Ḥātim RA:

أَسْلِمْ تَسْلَمْ

“Masuk Islamlah, nescaya kamu akan selamat.” [Hadis Riwayat Imam al-Bukhārī, no. 4553]

Maka, marilah kita kembali kepada sistem Islam yang adil dan sempurna. Wallāhu a‘lam.

Tamat.

ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN

*Berdasarkan pengisian oleh: Ustaz Muhammad Mujahid Ir Fadzil (Pensyarah KIAS)  – HARAKAHDAILY 22/9/2025

- Advertisement -