
KUALA LUMPUR: Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyifatkan kes amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di tandas awam di Kulai baru-baru ini sebagai amat mengejutkan dan menyedihkan.
Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila suspek yang ditahan mempunyai tiga rekod lampau jenayah seksual, sekali gus menunjukkan sistem sedia ada masih gagal melindungi kanak-kanak daripada ancaman pemangsa.
“Ini adalah isyarat jelas bahawa sistem kita masih belum benar-benar melindungi anak-anak kecil daripada pemangsa. Pesalah seksual yang berulang perlu dikenakan tindakan lebih tegas agar mereka tidak bebas merosakkan generasi akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Ustazah Nuridah berkata, sebagai wanita dan ibu, beliau amat risau dengan keadaan itu kerana anak-anak adalah amanah Allah SWT yang mesti dijaga keselamatan serta maruahnya.
Beliau turut mengingatkan sabda Rasulullah SAW melalui Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, ‘Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan ditanya tentang apa yang dipimpin’.
Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berkuasa memperketatkan undang-undang serta penguatkuasaan terhadap pesalah seksual, selain masyarakat perlu lebih cakna melindungi persekitaran kanak-kanak.
“Pada masa sama, pendidikan awal perlindungan diri mesti diperkasa di sekolah dan rumah. Semoga Allah melindungi generasi kita daripada kerosakan moral dan kezaliman manusia.
“Kita mesti berganding bahu untuk membina Malaysia yang lebih selamat untuk anak-anak kita,” katanya yang juga bekas Ahli Dewan Negara.
Terdahulu media tempatan melaporkan bahawa polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun di Kulai bagi membantu siasatan kes amang seksual terhadap kanak-kanak.
Suspek itu dilaporkan mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah seksual akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai untuk permohonan reman.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. – HARAKAHDAILY 22/9/2025











