‘Kita simpati dengan Palestin tapi kita raikan Trump?’

Batalkan untuk Trump jejak kaki ke tanah air ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir menggesa kerajaan tidak membenarkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjejakkan kaki ke Malaysia berikutan pendiriannya yang berpihak kepada rejim Zionis.

Beliau merujuk kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha baru-baru ini yang mengulas kekejaman dan tindakan zalim rejim haram Zionis itu dengan lantang.

Menurutnya, Anwar telah menegaskan bahawa, ‘kutukan tidak akan menghentikan peluru berpandu, kenyataan tidak akan membebaskan Palestin, tindakan hukuman yang berat mesti dilaksanakan’.

Tambahnya, Anwar turut menggesa negara-negara Islam memutuskan hubungan dengan rejim haram itu.

“Semalam di dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC), dunia mengharapkan agar resolusi berbunyi ‘menggesa gencatan senjata serta-merta, tanpa syarat dan berkekalan di Gaza yang dipatuhi semua pihak serta pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan’ diluluskan agar keamanan kembali di Gaza, malangnya ia tidak berlaku.

“(Seramai) 14 anggota UNSC (termasuk yang bukan Islam) mengundi menyokong resolusi ini malangnya ia telah di‘veto’ oleh penyokong dan pelindung kuat rejim haram itu iaitu Amerika Syarikat.

“Inilah peluang terakhir menamatkan kezaliman di Gaza. Tetapi ternyata AS bersubahat untuk menghalalkan tindakan zalim ini,” luah Roslan penuh kecewa terhadap perkara itu.

Sehubungan itu, beliau menegaskan sekiranya Perdana Menteri serius mahu melihat hukuman berat dikenakan terhadap rejim haram Zionis, maka rakyat Malaysia pasti bersetuju jika jemputan kepada Trump menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur Oktober depan dibatalkan.

“Apa guna kita lantang mengutuk kezaliman di Gaza tetapi dalam waktu yang sama kita rai dan alu-alukan kehadiran sekutu yang menghalalkan pembunuhan dan kekejaman ke atas rakyat Palestin.

Say No to Trump! Desak PM batal jemputan ke Trump!” tegasnya. – HARAKAHDAILY 22/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -