Usul wartakan kampung tradisi Warisan UNESCO

Usul itu sudah dikemukakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengemukakan usul supaya Kampung Melayu, Kampung Baru dan Kampung Adat diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Ahli Parlimen Machang itu menjunjung kasih kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atas titah baginda yang menekankan kepentingan mempertahankan warisan bangsa dan kesinambungan tradisi negeri.

“Dalam semangat mendaulatkan kurniaan nenda baginda, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa yang sejak awal telah meletakkan asas pengiktirafan dan pemeliharaan kawasan Kampung Baru serta kampung-kampung tradisional Melayu.

“(Ia) maka usul ini dikemukakan agar Kerajaan Persekutuan mengambil langkah segera untuk mewartakan kawasan-kawasan tersebut sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO,” ujarnya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, Kampung Melayu, Kampung Baru dan Kampung Adat bukan sekadar penempatan fizikal, tetapi nadi identiti bangsa yang menjadi akar budaya, seni bina, tradisi, adat resam serta sistem kemasyarakatan, juga asas kepada kelangsungan jati diri orang Melayu dan Malaysia seluruhnya.

“Mengangkat statusnya ke peringkat UNESCO adalah langkah bersejarah yang bukan sahaja melindungi warisan ini daripada ancaman pembangunan tidak terkawal, malah meletakkannya dalam peta dunia sebagai khazanah sejagat diiktiraf,” jelasnya.

Beliau menegaskan, usul itu menjunjung titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menuntut perkara tersebut dilihat sebagai tanggungjawab moral dan amanah generasi, bukan semata-mata dari kaca mata estetika atau pelancongan.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, usul berkenaan sudah dikemukakan dan akan sampai ke pengetahuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Dewan ini didesak mengambil ketetapan supaya Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Jabatan Warisan Negara serta agensi berkaitan segera menggerakkan usaha permohonan rasmi kepada UNESCO.

“(Ia) Di samping memperkukuh kerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri dan institusi tradisi di seluruh negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -