
KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenakan kompaun RM100,000 terhadap akhbar Sin Chew dan Sinar Harian sebagai melampau serta bersifat ‘membuli’ media.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu berkongsi ‘kebimbangan serius’ yang dinyatakan Majlis Media Malaysia (MMM) terhadap tindakan berkenaan kerana ia seolah-olah menekan media untuk akur kepada garis politik tertentu.
“Jelas bahawa amaun kompaun tersebut adalah melampau dan kelihatan seperti membuli media supaya akur kepada garis atau tekanan politik tertentu serta kemahuan kerajaan.
“(Ia) dengan mewujudkan iklim tapisan kendiri (self censorship) yang berpotensi menghakis peranan bebas media sebagai tonggak keempat demokrasi dan saluran maklumat rakyat,” ujarnya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, kedua-dua akhbar itu sudah lama wujud serta berkhidmat merentas kerajaan, parti dan pemimpin, sekali gus layak dipercayai untuk mengambil tindakan sewajarnya tanpa dilayan dengan cara tidak wajar.
Menurutnya, tindakan menarik semula laporan tersilap, membetulkannya dan memohon maaf secara terbuka sebaik sahaja ia disedari sudah memadai sebagai hukuman kerana memberi kesan kepada integriti serta kewibawaan media di mata pembaca.
“Hanya kesalahan sama yang berulang-ulang boleh dianggap sebagai kesalahan serius yang mewajarkan tindakan keras ke tahap langkah yang diambil oleh SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) ini,” katanya.
Takiyuddin berkata, PAS percaya tindakan dalaman oleh MMM sebagai badan kawal selia industri media sudah mencukupi bagi memastikan standard etika kewartawanan, tanggungjawab dan integriti dan kepatuhan undang-undang dalam kalangan pengamal dan pemain industri.
Menurutnya, peranan MMM sebagai tribunal bagi menerima dan menyiasat aduan mengenai media serta laporannya perlu dihormati dan diperkukuh tanpa campur tangan pihak luar sebelum proses dalaman itu berjalan sempurna.
“Tindakan sebaliknya hanya akan menafikan status, peranan dan tujuan MMM ditubuhkan, sekali gus menjadikannya sia-sia,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Terdahulu media tempatan melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengenakan kompaun RM100,000 itu selepas mendapat izin Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurut laporan itu, tindakan diambil kerana kedua-dua organisasi menyiarkan kandungan salah membabitkan Jalur Gemilang serta maklumat tidak benar mengenai Ketua Polis Negara.
SKMM mengingatkan media dan pengguna supaya memastikan ketepatan kandungan terutama melibatkan simbol rasmi dan institusi keselamatan negara. – HARAKAHDAILY 22/9/2025











