Jadi negeri kedua tubuh Mahkamah Digital Syariah

Asri menandatangani plak perasmian
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan muncul sebagai negeri kedua selepas Sarawak yang berjaya mewujudkan Mahkamah Digital Syariah, sekali gus mencatat sejarah baharu dalam sistem perundangan negara.

- Advertisement -

Ustaz Mohd Asri Mohd Daud berkata pencapaian itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri untuk mendepani cabaran era Revolusi Industri 4.0, kecerdasan buatan dan arus globalisasi.

“Alhamdulillah, Kelantan dapat bersedia lebih awal. Ini satu kebanggaan kerana kita berusaha keras untuk memastikan sistem kehakiman syariah tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan itu adalah hasil kesungguhan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan yang memulakan langkah awal sehingga berjaya melancarkan Dewan Mahkamah Teknologi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri itu berkata, usaha pendigitalan ini selari dengan pengumuman kerajaan negeri melalui Pelan Tindakan Ekonomi Digital Kelantan 2030 yang dilancarkan pada Januari tahun lalu.

Katanya, sasaran kerajaan negeri adalah mencapai 80 peratus urusan secara ‘end-to-end’ digital menjelang akhir 2025 meliputi pelbagai sektor termasuk pendidikan, pertanian, mineral dan perundangan.

“Pendigitalan mahkamah ini memberi banyak kelebihan, antaranya menjimatkan kos perbicaraan, memudahkan pihak terlibat termasuk warga emas dan mereka yang tinggal jauh, selain mempercepatkan penyelesaian kes tertangguh.

“Kalau sebelum ini ada kos perjalanan, kos penginapan dan kelewatan disebabkan pelbagai faktor. Dengan mahkamah digital, kes dapat diselesaikan lebih cepat,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa aspek capaian internet yang stabil amat penting bagi memastikan kelancaran proses perbicaraan secara digital.

“Kalau internet terputus ketika pengakuan dibuat, ia boleh menjejaskan prosiding. Perkara ini perlu diberi perhatian oleh pihak terlibat supaya sistem berjalan lancar,” ujarnya.

Tambahnya, meskipun terdapat beberapa kekangan teknikal, manfaat pendigitalan jauh lebih besar dan memberi ruang keadilan yang lebih mudah diakses rakyat. – HARAKAHDAILY 10/9/2025

- Advertisement -