PAS parti terbesar, bukan ‘tepu’ – Dr Mohamed Fadzli

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS bukan sebuah parti yang ‘tepu’ seperti didakwa, sebaliknya sentiasa diperkukuh dengan keanggotaan ahli berkemampuan serta pakar dalam pelbagai bidang.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kelebihan itu membuktikan PAS tidak pernah kecoh atau berebut jawatan sebagaimana berlaku dalam parti lain.

“Menang lima jawatan utama tanpa bertanding dalam pemilihan bukan bererti PAS sudah tepu, sebaliknya itulah PAS yang tidak ‘minat’ untuk berebut jawatan.

“Itulah PAS daripada dulu, tidak bising atau berebut jawatan, dan dengan cara itu kita kini menjadi parti terbesar yang mempunyai kerusi terbanyak di Parlimen,” katanya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian selepas mesyuarat Exco di Mabna, Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya PAS tidak maju kerana Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang enggan berundur daripada jawatan.

“Tok Guru masih ada, inilah kita menjadi parti terbesar dalam Parlimen hari ini, Alhamdulillah. Kita bukan nak suruh dia berlari, kita nak arahan dan buah fikiran daripada dia untuk parti, masyarakat dan negara.

“Setakat ini beliau masih mampu memberi arahan, nasihat dan pengisian yang terbaik untuk kita, walaupun berkerusi roda sekalipun, buah fikirannya tetap segar,” ujarnya.

Mengulas mengenai pencalonannya sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dr Fadzli berkata beliau menawarkan diri untuk bertanding, namun menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan perwakilan.

“Saya sudah lama memegang jawatan AJK Pusat sejak pemilihan di Kuala Selangor (2015) lagi. Bagi saya apa juga keputusan perwakilan adalah terbaik, sama ada saya dipilih atau tidak, kerja untuk parti tetap saya teruskan,” katanya. – *HARAKAHDAILY 10/9/2025*

- Advertisement -