Perlu bantu SAR, jangan sampai terpaksa ditutup

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan Negeri Perak disaran agar tidak lepas tangan dan segera mengambil alih tanggungjawab dalam menangani dua isu besar yang membelenggu Sekolah-sekolah Agama Rakyat (SAR) iaitu kekurangan tenaga pengajar dan masalah prasarana uzur.

- Advertisement -

​Mohd Hafez Sabri (PN-Manjoi) berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak, semalam.

​Walaupun menyambut baik usaha menggubal undang-undang baharu bagi menggantikan Enakmen Kawalan Sekolah Agama Islam 1996 yang berusia hampir 30 tahun, ujarnya, RUU itu perlu disokong dengan tindakan konkrit bagi menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi.

​Menurutnya, banyak SAR kini terhimpit dengan masalah kewangan sehingga tidak mampu membayar gaji guru dan kakitangan, sekali gus berisiko menyebabkan institusi pendidikan itu terpaksa ditutup.

​“Realiti yang berlaku sekarang, pihak pengurusan sekolah yang tanggung gaji cikgu dan kakitangan. Kalau gaji lewat atau sekolah dah tak mampu nak tanggung, tak mustahil cikgu terpaksa berhenti dan cari kerja lain.

​“Lebih parah, pengurusan sekolah tak dapat nak ‘operate’ sekolah, silap hari bulan sekolah pun tutup. Kasihan nasib dan masa depan para pelajar, emosi mereka terganggu dan janganlah sampai anak-anak buat keputusan berhenti sekolah,” katanya.

​Mohd Hafez turut membidas persepsi negatif sesetengah pihak yang melabel pelajar sekolah agama sebagai lemah atau tidak berdaya saing, sedangkan hakikatnya mereka adalah pelajar cerdas.

​Kata beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, faktor luaran seperti kekurangan prasarana sekolah dan guru terlatih yang menyebabkan para pelajar ini ketinggalan.

​“Masyarakat tidak memahami masalah sebenar yang dihadapi iaitu sekolah kurang prasarana dan kekurangan guru terlatih yang berkemahiran. Pelajar sekolah agama mempunyai pemikiran yang cerdas dan kerajaan kena ambil tanggungjawab untuk bantu,” ujarnya.

​Sehubungan itu, bagi merealisasikan dasar Perak Sejahtera 2030, beliau mengemukakan beberapa cadangan utama antaranya,
Kerajaan Negeri perlu mengambil inisiatif melantik guru terlatih dan kakitangan untuk ditempatkan di SAR.

Jelas beliau, ia bagi menampung kekurangan tenaga pengajar, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada graduan lepasan Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“​Kedua, proses penubuhan dan pendaftaran sekolah agama baharu di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) perlu dipermudahkan dengan Garis Panduan Tatacara (SOP) dan garis masa (timeline) yang jelas bagi mengelakkan kelewatan tidak wajar.

“​Ketiga, jumlah sekolah agama perlu ditambah, khususnya di kawasan berkepadatan tinggi seperti di DUN Manjoi, bagi memenuhi permintaan ibu bapa yang semakin meningkat untuk menghantar anak-anak mereka mendapatkan pendidikan agama sempurna,” katanya lagi.

​Beliau menambah, RUU baharu itu sendiri membuka ruang untuk kerajaan membantu mendapatkan premis sesuai untuk dijadikan sekolah, termasuk bangunan komersial yang kosong, tanpa mewajibkan pemilikan tanah atau bangunan sendiri.

​Mohd Hafez mengingatkan bahawa Perak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, dengan lebihan pendapatan sebanyak RM45.62 juta bagi tahun 2024, dan kutipan hasil negeri mencecah RM1.332 bilion.

​Justeru, beliau amat berharap agar kerajaan negeri dapat memanfaatkan kekuatan ekonomi ini untuk merancang pembangunan sekolah agama secara tersusun dan tidak meminggirkannya.

​“Jangan sampai sekolah agama dihimpit masalah kewangan hingga menyebabkan ia ditutup, yang pastinya akan menjadi satu kerugian besar kepada kerajaan dan masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/9/2025

- Advertisement -