RUU Sekolah Agama: Selia dan awasi, bukan sekat

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan Negeri Perak digesa agar memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Perak 2025 tidak menjadi alat untuk ‘mengongkong’ atau menyekat institusi pendidikan Islam.

- Advertisement -

Khalil Yahya (PN-Kubu Gajah) berkata, sebaliknya ia mesti berperanan untuk menyelia dan memperkasa sekolah-sekolah yang lahir daripada pengorbanan dan inisiatif masyarakat.

​Tegas beliau, walaupun pada dasarnya RUU ini disokong, terdapat beberapa fasal yang bersifat terlalu luas dan berpotensi menekan Sekolah Agama Rakyat (SAR) serta kelas-kelas pengajian komuniti.

​Ketika membahaskan RUU tersebut di Sidang Dewan Undangan Negeri Perak hari ini, beliau menegaskan bahawa istilah ‘kawalan’ dalam enakmen ini mesti difahami sebagai menyelia dan mengawasi, bukannya menyekat.

​“Kami tidak mahu terma kawalan ini difahami dengan maksud mengongkong atau menyekat, tapi lebih tepat adalah menyelia dan mengawasi.

“Usaha penubuhan (sekolah agama) yang tidak bergantung kepada dana kerajaan ini hakikatnya dapat menampung ‘loophole’ yang tersedia ada dalam masyarakat. Dari hasil tangan mereka inilah umat Islam terdidik,” tegasnya.

​Beliau turut mengingatkan Dewan agar menjiwai sejarah penubuhan institusi pondok dan sekolah agama di Perak seperti Maahad Al-Ehya Asshariff yang wujud atas keikhlasan dan permuafakatan masyarakat setempat sejak sebelum merdeka lagi.

​Mengulas lanjut, Khalil yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Perak menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa seksyen dalam RUU tersebut.

Beliau khuatir tafsiran ‘sekolah’ secara terlalu luas akan menyebabkan kelas-kelas pengajian al-Quran komuniti secara sukarela turut terikat dengan peraturan pendaftaran yang rumit.

Tambahnya, proses pendaftaran yang melibatkan banyak peringkat birokrasi boleh melambatkan kelulusan, justeru sebuah sistem digital perlu diwujudkan.

​Lebih membimbangkan katanya, adalah penggunaan frasa ‘kepentingan negeri’ yang bersifat umum dan terdedah kepada tafsiran politik.

Beliau mencadangkan agar frasa ini dirujuk kepada syor Jabatan Mufti atau fatwa yang diwartakan bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.

Selain itu, beliau menolak peruntukan mengenai kuasa menutup sekolah dan penalti tinggi tanpa adanya mekanisme rayuan yang bebas, dan mencadangkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Rayuan Pendidikan Islam Negeri.

​Dalam perbahasannya, Khalil turut mendedahkan keadaan kebajikan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Perak yang masih jauh ketinggalan berbanding negeri lain.

​“Guru KAFA di Perak hanya menerima elaun negeri RM200 sebulan, menjadikan jumlah keseluruhan RM1,300. Jumlah ini masih rendah jika dibandingkan dengan Selangor serta Johor (RM1,500).

“Perbezaan ketara ini menunjukkan betapa kebajikan guru KAFA di Perak masih jauh tertinggal,” katanya.

​Beliau juga mempersoalkan peruntukan kerajaan negeri yang dianggap tidak mencukupi untuk menaik taraf ratusan SAR dan pusat tahfiz di mana kebanyakannya beroperasi dalam keadaan daif dan tidak memenuhi piawaian keselamatan.

​Bagi menambah baik RUU ini, beliau mengemukakan beberapa cadangan utama, termasuk menubuhkan Yayasan Islam Perak untuk membantu SAR.

Turut disaran adalah meningkatkan elaun guru KAFA ke arah skim tetap, dan melibatkan Pertubuhan Pendokong Sekolah Agama Rakyat (PPSR) dalam penggubalan dasar pendidikan Islam negeri.

​“Pendidikan agama adalah amanah umat. Maka, marilah kita menunaikan amanah ini dengan penuh integriti, dengan memastikan pendidikan agama terus diperkasa demi generasi akan datang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/9/2025

- Advertisement -