Sekolah Vernakular tak ditutup walau kekurangan pelajar

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan Negeri Perak dilihat tidak adil apabila menutup beberapa Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) atas alasan kekurangan murid, kesal Muhammad Faisal Abdul Rahman (PN-Trong).

- Advertisement -

Sedangkan katanya, sekolah vernakular yang mempunyai bilangan pelajar sedikit, tetapi dibenarkan terus beroperasi hingga menyebabkan beliau berasa ‘amat cemburu’ dengan layanan tidak seimbang seperti itu.

Beliau memberitahu, di kawasannya sekolah vernakular seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Air Terjun dan SJKC Pasir Hitam dengan hanya mempunyai lima murid dan lima guru masih bertahan, tetapi sekolah KAFA diarah tutup jika muridnya kurang daripada 15 orang.

​Tegasnya, tindakan ini tidak adil dan menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri tidak bersungguh-sungguh dalam mempertahankan institusi pendidikan Islam milik negeri sendiri.

​“Beberapa sekolah KAFA seperti Madrasah Muhammadiah di Kampung Paya dan SRAR Nurul Hidayah di Sungai Bemban, Trong telah ditutup dengan alasan tidak cukup norma pengambilan, iaitu seorang guru bagi 30 pelajar.

​“Kenapa kita Kerajaan Negeri Perak tidak mempertahankan sekolah-sekolah KAFA ini supaya jangan ditutup? Hari ini sekolah yang ditutup itu hanya tinggal bangunan usang.

“Sayang, sayang seribu kali sayang,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Kawalan Sekolah Agama Islam 2025 di sini, semalam.

​Beliau berharap dengan adanya enakmen baharu itu, syarat penutupan sekolah agama diperhalusi semula dan menggesa agar sekolah-sekolah KAFA yang telah ditutup dibuka kembali kerana negeri mempunyai kemampuan untuk menguruskannya.

​Faisal mencadangkan agar kerajaan negeri menyediakan insentif bagi menggalakkan sekolah-sekolah agama persendirian, pondok dan tahfiz yang sedia ada untuk mendaftar di bawah enakmen baharu, bukannya menggunakan pendekatan paksaan atau ugutan penutupan.

​“Kalau kita hanya paksa, kita hanya suruh dan kita ugut, ia tidak memberikan kesan positif. Kita harapkan melalui RUU ini disediakan satu insentif galakan supaya mereka mendaftarkan sekolah,” katanya.

​Beliau juga menggesa agar RUU itu dipinda bagi memberi tempoh masa yang munasabah, seperti diamalkan di Melaka, untuk sekolah-sekolah telah lama beroperasi tetapi belum berdaftar, bagi menyelesaikan proses pendaftaran mereka.

​Menyentuh isu kebajikan guru, beliau mencadangkan supaya guru-guru dan kakitangan di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) yang majoritinya berstatus kontrak, diserap ke dalam jawatan tetap.

​“Alangkah baiknya perjawatan yang ada di SMTDR ini diserapkan dalam jawatan tetap yang telah dikosongkan oleh guru di Sekolah Izzuddin Shah, Ta’ayah dan Sarjana (yang kini di bawah Kementerian Pendidikan).

​“Ini akan menjamin masa depan mereka, supaya mereka terus berkhidmat untuk kerajaan negeri yang kita sayangi ini,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang.

​Secara dasarnya, beliau menyokong RUU tersebut namun memohon agar beberapa perkara yang dibangkitkan dapat diperhalusi bagi menjadikan ia titik awal untuk membangunkan pendidikan Islam secara lebih sempurna di Perak. – HARAKAHDAILY 10/9/2025

- Advertisement -