
KANGAR: Perbincangan mengenai kemungkinan mewujudkan panggung wayang patuh syariah di negeri terus menarik perhatian ramai, khususnya pencinta Islam yang prihatin terhadap isu hiburan dan nilai agama.
Sebahagian masyarakat melontarkan pendapat serta persoalan terhadap keperluan untuk mewujudkan panggung wayang di negeri ini kerana melihat premis itu zaman ini sukar untuk memenuhi tuntutan syariah.
Isunya bukan hanya pada pemisahan tempat duduk antara lelaki dan wanita, malah lebih mendalam melibatkan kandungan filem itu sendiri yang sukar dijamin benar-benar selari dengan prinsip Islam.
Hakikat yang dibangkitkan itu wajar diambil kira, namun menurut pandangan sebahagian pihak, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup ruang perbincangan.
Sebaliknya, perbincangan terhadap alternatif Islam dalam dunia hiburan perlu terus dibuka supaya masyarakat tidak terhalang daripada menikmati hiburan dalam lingkungan yang dibenarkan syarak.
“Dunia perfileman telah mendunia. Bersama perkembangannya, turut muncul pelbagai medium hiburan termasuk panggung wayang. Justeru, perlu ada panduan jelas.
“Agar masyarakat tidak terjebak dengan budaya hiburan yang bercanggah dengan agama,” demikian pandangan yang dikongsikan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil.
Apabila pihak Exco atau kerajaan negeri membangkitkan isu ini, ia dianggap sebagai reaksi terhadap pandangan masyarakat serta bukti pendekatan realistik dalam mendepani cabaran semasa.
Lebih penting, ia menunjukkan keyakinan bahawa Islam tidak pernah menutup ruang hiburan, sebaliknya menawarkan alternatif yang lebih selamat dan bermanfaat.
Pemerhati menyifatkan langkah ini sebagai satu peluang untuk Perlis menjadi negeri perintis dalam memperkenalkan konsep hiburan patuh syariah yang praktikal, sama ada melalui pawagam atau medium hiburan lain yang lebih moden.
Dalam hal ini, pihak berautoriti agama seperti Jabatan Mufti wajar diberikan peranan besar dengan mengeluarkan fatwa atau menyediakan garis panduan khusus, sekali gus memastikan masyarakat mendapat manfaat daripada hiburan tanpa melanggar batas syarak.
“Jika ada garis panduan jelas, masyarakat tidak lagi keliru. Mereka boleh menikmati hiburan dalam ruang yang patuh syariah dan dalam masa sama, industri kreatif dapat berkembang dalam kerangka Islam,” kata Ahmad Adnan lagi.
Cadangan ini dilihat bukan sekadar wacana kosong, sebaliknya langkah proaktif untuk mencari keseimbangan antara keperluan hiburan masyarakat dengan tuntutan agama.
Ia turut menjadi tanda aras kepada usaha memperluas konsep gaya hidup Islam dalam semua aspek kehidupan termasuk seni, budaya, dan hiburan.
Dengan sikap terbuka kerajaan negeri untuk mendengar pandangan rakyat serta komitmen ulama dalam memberikan bimbingan, Perlis berpotensi menjadi contoh terbaik kepada negeri-negeri lain dalam melaksanakan hiburan yang patuh syariah.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil berkata, sehingga kini belum ada permohonan rasmi dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Kangar (MPK) oleh mana-mana syarikat pengusaha pawagam.
Pun demikian menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang, kerajaan negeri sudah membuat persediaan awal agar konsep tersebut dapat diaplikasikan di Perlis.
“Setakat ini pawagam di Perlis masih di peringkat syarikat pengusaha, belum ada permohonan yang dibuat kepada MPK. Namun kita sudah dimaklumkan akan ada sebuah pawagam dibangunkan.
“Jadi dari peringkat awal lagi kita cuba pastikan ia berkonsepkan pawagam patuh syariah,” katanya ketika ditemui media di Kompleks Seri Putra selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di sini minggu lalu.
Beliau menjelaskan, antara ciri utama pawagam patuh syariah yang bakal dilaksanakan termasuklah pengasingan tempat duduk antara lelaki, perempuan dan keluarga, pencahayaan ruang tidak terlalu gelap serta susun atur tempat duduk lebih teratur.
“Kita melihat contoh yang sudah dilaksanakan di Terengganu dan mengambil pengalaman daripada Kedah juga. Antara yang kita rasakan sesuai untuk dilaksanakan adalah model seperti di Terengganu yang baharu diperkenalkan.
“Perlis yang baru hendak bermula ini perlu ambil yang terbaik supaya lebih mematuhi syariah,” katanya.
Menurut Asrul Aimran, kerajaan negeri tidak mahu wujud sebarang isu yang boleh menimbulkan kebimbangan masyarakat, justeru langkah proaktif ini diambil bagi memastikan hiburan ditawarkan tetap dalam landasan syarak.
“Kita cuba elakkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan kerisauan. Pawagam ini adalah hiburan, tetapi biarlah hiburan yang selaras dengan tuntutan agama,” katanya.
Dengan usaha ini, Perlis dilihat berpotensi muncul sebagai negeri utara pertama yang melaksanakan pawagam berkonsep patuh syariah sepenuhnya, selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk mengekalkan identiti Islam dalam setiap aspek pembangunan sosial. – HARAKAHDAILY 10/9/2025












