Kota Bharu Half Marathon 2025 catat 3,000 peserta

- Advertisement -

KOTA BHARU: Acara Kota Bharu Half Marathon (KBHM) 2025 yang bakal berlangsung pada 13 September ini menerima penyertaan lebih 3,000 pelari, sekali gus menobatkannya sebagai antara maraton terbesar di Pantai Timur.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, sambutan luar biasa itu membuktikan KBHM terus mengekalkan momentumnya selepas kejayaan penganjuran sulung pada tahun lalu.

“Edisi pertama berjaya menarik lebih 2,000 pelari dengan 66 peratus daripadanya datang dari luar Kelantan. Tahun ini pula penyertaan meningkat dengan kehadiran pelari tempatan, komuniti larian seluruh negara dan juga atlet profesional,” katanya.

Beliau memaklumkan, tiga kategori dipertandingkan iaitu 21 kilometer Half Marathon, 10 kilometer Time Trial dan 5 kilometer Fun Run.

“Pelepasan akan bermula seawal jam 3 pagi bagi kategori utama, jam 4 pagi untuk kategori 10 kilometer manakala kategori 5 kilometer bermula pada jam 7.30 pagi.

“Jadual pelepasan awal ini bagi memastikan peserta mempunyai ruang untuk menunaikan solat Subuh tanpa sebarang kesulitan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra.

Program yang dianjurkan Yayasan Kota Bharu Care dengan kerjasama Unit Belia dan Sukan (UBeS) Negeri Kelantan itu mengetengahkan tema merah hitam berinspirasikan bendera rasmi jajahan Kota Bharu.

Pengarah Program, Zat Asyraff Takiyuddin pula berkata, trek larian yang bermula dan berakhir di Dewan Jubli Perak, Jalan Padang Perdana akan melalui laluan sekitar bandar Kota Bharu yang rata dan selesa.

“Keadaan ini mampu memberi pengalaman menarik kepada pelari di samping membantu mereka mencatat ‘Personal Best’. Malah rekod rasmi KBHM juga boleh diiktiraf dalam pertandingan sukan bertaraf rasmi,” jelasnya.

Lebih menarik, pelari kebangsaan Sanjay Manimaran yang berada pada prestasi terbaik dijangka melakukan percubaan untuk memecah rekod kebangsaan.

Turut menyertai acara berprestij ini ialah atlet terkenal negara termasuk Nik Fakarudin Ismail dan Noor Amelia Musa yang akan menjadikan saingan kali ini lebih sengit. – HARAKAHDAILY 10/9/2025

- Advertisement -