
TAHUN ini maka genaplah 10 tahun PAN terlibat dalam belantara politik negara ini, menjadi rakan sekutu DAP paling taat sejak tembuninya ditanam pasca Muktamar di Kuala Selangor sedekad lalu. Sambutan sedekad parti mereka akan diadakan pada 4 Oktober ini dengan pelbagai harapan digarap untuk melangkah pada fasa sepuluh tahun berikutnya di pentas politik.
Segalanya makin mencuat dan terpampang, tak jauh daripada unjuran kami sepuluh tahun lepas apabila melepaskan sahabat-sahabat ini pergi meninggalkan PAS, gerakan Islam tertua negara ini. Pergi dengan sebahagiannya melanggar baiah sebagai anggota legislatif PAS yang dimenangi atas keringat, airmata bahkan wang ringgit ahli-ahli PAS yang ikhlas. Juga kader kader yang pernah ditajnid dalam ekosistem PAS namun kerancuan fikrah ditanam melalui jalan belakang seperti TKB dan sebagainya. Teringat aku, pasca PRU 9 Mei 2018 dahulu, membusung dada mereka kerana berjaya berada di koridor kuasa dengan bantuan ‘abang besar’ DAP. Sorak sorai mereka menjulang ke langit tinggi, bercakap dengan nada takbur, bahkan menyalahkan pimpinan PAS yang kononnya ijtihad politik mereka betul menepati maqasid syariah.
Penut membaca dan menonton pelbagai video pendek pra sambutan sedekad PAN di media sosial dalam kesibukan berprogram minggu ini di bumi Sabah seakan meruak kembali zaman pra penubuhan parti PAN, serpihan kepada PAS yang ditubuhkan pada 16 September tahun 2015. Pimpinan PAN masih mengulang naratif yang sama, rasa bangga kerana menjadi rakan strategik dua kali dalam kerajaan Persekutuan namun mereka tak menghidu nasib mereka dalam PRU akan datang apabila Umno kini dilihat oleh DAP mampu meraih sokongan orang Melayu dalam permuafakatan politik mereka.
Dalam PRU14 dahulu, penerimaan masyarakat Melayu terhadap parti serpihan PAS ini sangat meleset. Terengganu antaranya, keputusan pilihan raya 2018 sangat menjolok mata dan nurani penyokong PAN, di mana sahaja PAN bertanding dengan logo Pakatan Harapan maka mereka akan kalah dengan sangat teruk sehingga tak mampu mengangkat kepala! Lihat sahaja keputusan di DUN Batu Buruk dan Rhu Rendang. Bilik strategi PAS mengesan daripada manakah datangnya undi kepada parti belaan DAP ini? Ianya disokong oleh komuniti Tiong Hua yang bermukim di bandar dan pinggir bandar. Kaum Muslimin majoritinya menolak PAN kecuali ahli kumpulan NGO Islam tertentu yang turut menjadi anggota teras PAN. DAP adalah abang besar yang membidani PAN sepuluh tahun lepas. DAP dalam PRU15 cukup berstrategi membidak catur calon-calon daripada kalangan orang Melayu, sasaran mereka untuk membina koridor Barat meliputi Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Mereka merasa seronok di koridor kuasa di beberapa buah negeri Pantai Barat, namun apakah sumbangan parti ini untuk pengukuhan kepada agama dan bangsa? Paling sibuk kelompok ini memburu asatizah PAS yang tidak bertauliah mengajar dalam kondisi pentauliahan disulitkan kepada sesiapa yang menjadi aktivis PAS.
Falasi mereka bahawa PAS adalah konservatif, dogmatik, parti tepu idea-idea segar mereka ratibkan agar dijauhi masyarakat dan generasi muda. Ironinya, perjalanan PAS semakin membaik selepas kelompok ini meninggalkan bahtera PAS, Majlis Syura Ulama tetap teguh mentarjih perjalanan PAS, sehingga harakatul ummah kini memayungi empat buah kerajaan negeri, dengan seramai 43 MP dan seramai 148 ADUN.
Sisi kelam yang cuba dilontar kepada Tuan Guru Presiden PAS sebagai diktator, punca perpecahan umat, mengkhianati permuafakatan politik dan pelbagai tuduhan lagi oleh beberapa pemimpin kanan PAN yang juga tebal dengan sentimen anti Tuan Guru ini tidak sesekali melencongkan akal waras kami ahli-ahli PAS yang cinta akan perjuangan Islam serta alim ulama. Strategi Rand Corporation begitu halus di negara umat Islam termasuk tubanya mengincar kolam jernih harakatul ummah negara ini.
Dalam sejarahnya selepas PRU 2013, kepimpinan PAS mula ingin dicatur oleh ‘orang luar’ PAS dengan bantuan daripada kelompok dalam PAS sendiri. Kononnya watak PAS sebagai kumpulan fundamentalis Islam tak digemari oleh Amerika untuk menjadi rakan strategik pemerintahan Malaysia. Pergolakan PAS sebelum dan selepas muktamar di Kuala Selangor 2015 telah menatijahkan PAS kehilangan sebahagian ahli, bermula dengan 18 pemimpin yang tewas dalam Muktamar kali ke-61 maka mereka menamakan diri sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB), seterusnya membeli Parti Pekerja dan telah menjenamakan sebagai Parti Amanah Negara (PAN). Kemasukan secara en bloc teman-teman NGO berDNA IRC, JIM, IKRAM, juga ahli-ahli PAS yang terkeliru serta kempen agresif parti sekutu DAP itu sedikit sebanyak menggegarkan PAS pada fasa kemunculan awal. Kemenangan PH dalam PRU14, 9 Mei 2018 juga seolah memberikan nyawa kepada mereka, teringat aku dengan sikap membusung dada pemimpin PAN, bukan sekadar di media sosial, juga di alam nyata.
Sejarah telah merakamkan selama 22 bulan mereka di tampuk dan koridor kuasa, juga untuk Kali kedua mereka di Putrajaya, masyarakat Islam negara ini melihat betapa lemahnya pemimpin PAN menjaga Islam dan ummat Islam. Mereka seolah ‘rubber stamp house’ kepada pemimpin-pemimpin DAP, pola simbiosis ini difahami kerana latar sejarah penubuhan mereka sejak 2015. Sejak mereka berkuasa lagi dalam fasa pertama, disedari sedikit demi sedikit bekas penyokong PAS dalam PAN mula tawaquf dalam aktiviti kerajaan PH dan mula bertanya khabar untuk pulang bersama PAS. Ramai yang tersedar budaya berorganisasi PAS tidak sama dengan mana-mana parti, PAS bukan sekadar memburu kuasa untuk melaksana dan menjaga Islam namun program amal tarbawi yang berjalan kepada ahli-ahli mereka. PAS adalah wadah ummat yang cintakan Islam, ahli dan pimpinannya berhujan panas dan berembun untuk menjayakan setiap program dan agenda jamaah.
PAN hanya memenangi lapan kerusi Parlimen dalam PRU15, keberadaan mereka tidak signifikan, sekadar menjadi perisai kepada DAP dan juga PMX. Lihat sahaja suara PAN dalam isu URA, isu kalimah Allah, isu sosej babi, isu pilihan raya perbandaran, isu Tanah rezab Melayu, isu penjarahan tanah Musang King, isu reinkarnasi komunisme dan bervariasi isu melibatkan Islam dan Melayu. Mereka tiada hala tuju untuk menjadi jurubicara ummah melainkan tanpa tertampar malu menjual slogan ‘Rahmatan lil ‘alamin’.
Begitu juga dengan Kementerian yang dijaga oleh pimpinan PAN semenjak November 2022. Rakyat melihat tiada kompetensi dengan penyelesaian yang lemah, tiada keberanian untuk menggarap idea baru. Isu tiadanya beras tempatan, dominasi kartel dalam makanan asasi, kenaikan kos mencanak dalam pelbagai industri pertanian, isu kekurangan telur dan lain-lain masalah petani. Begitu juga isu-isu dalam Kementerian Kesihatan, kekurangan jururawat, penghijrahan tenaga mahir bidang kesihatan ke luar negara. Sistem kebajikan petugas kesihatan negara ini antara terburuk di Asia Tenggara sehingga ‘brain drain’ tak mampu dielakkan. Sedekad PAN sejujurnya tiada pencapaian besar dalam organisasi dan diramalkan semakin mengecil kek kemenangan mereka dalam persaingan demokrasi PRU16.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 10/9/2025











