’60 tahun mungkir, 15 kali tipu, jadi kemahiran kerajaan’

- Advertisement -

BENTONG: Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Dato’ Andansura Rabu meluah rasa kecewa terhadap ‘kemahiran’ kerajaan negeri yang hanya mengulang janji perkara sama selama lebih enam dekad.

- Advertisement -

Menurut beliau, kerajaan negeri bertindak menipu, mempermain dan memperbodohkan rakyat terlalu lama dengan janji yang tidak pernah ditepati, khususnya dalam isu-isu asas negeri.

“Masalah dalam negeri kita ini dah berlarutan 15 kali pilihan raya, 60 tahun. Janji sama diulang, tapi bila menang, tak buat juga. Datang pilihan raya berikutnya, janji lagi perkara sama. Sampai bila rakyat nak tunggu? Berapa puluh tahun lagi?

“Bila nak pilihan raya baru datang, ‘signed’ balik, ambil borang balik, berapa tahun dah, berapa kali dah, setiap kali pilihan raya macam-macam janji, bila sampai nak laksana tak ada, tunggu lima tahun tak dapat,” ujarnya kesal.

Andansura turut menempelak kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan isu bekalan air bersih yang menjadi rungutan utama rakyat Pahang.

“Kerajaan negeri janji, menjelang 2026, masalah air 90 peratus akan selesai. Tapi sekarang dah hujung 2025, projek yang sepatutnya mula tahun 2024 pun tak bergerak. Macam mana nak selesai?” soalnya.

Di dalam ucapannya beliau turut menegaskan, politik seharusnya berperanan membina dan memajukan rakyat, bukannya menekan atau mendiskriminasi rakyat hanya kerana perbezaan sokongan dan ideologi politik.

“Kalau betul kerajaan amanah, rakyat mesti dilayan sama rata, tak kiralah pembangkang ke, bukan ke, itulah politik membina. Tapi bila politik dijadikan alat menolak dan mencantas rakyat yang tak sehaluan, itu namanya politik kotor.

“Kita kena tolak orang macam ni, kena tolak kaedah macam ni, cara macam ni tak betul,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah.

Beliau turut mengingatkan anak muda agar lebih cakna dalam menentukan masa depan politik negara kerana politik yang jelas dari hati berfungsi membina dan menjadikan kehidupan masyarakat lebih baik.

“Saudara-saudara ada tugas, tolong pastikan dan jelaskan kepada kawan-kawan kita, kena ada ‘full stop’ kepada segala janji yang tidak dapat dilaksanakan ini. Kuasa digunakan untuk membantu rakyat, bukan memperbodohkan rakyat,” ujarnya.

Andansura berucap di hadapan penduduk Kampung FELDA Chemomoi dalam program Sembang Santai Anak Muda sempena program Ziarah PN Teraju Pahang (PTP) di DUN Pelangai, di sini baru-baru ini.

Sembang santai tersebut turut disiarkan secara langsung di _TikTok_ dan mencecah lebih 10,000 tontonan.

Turut hadir, ADUN Luit, Dato’ Mohd Sofian Abdul Jalil serta Penyelaras DUN Pelangai yang juga mantan calon Perikatan Nasional (PN) daripada PAS di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai 2023, Cikgu Kasim Samat. – HARAKAHDAILY 10/9/2025

- Advertisement -