PERKESO hargai media sebagai rakan strategik

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terus mengukuhkan jaringan kerjasama dengan pengamal media sebagai rakan strategik dalam menyalurkan maklumat berkaitan manfaat keselamatan sosial kepada masyarakat.

- Advertisement -

Ketua Cawangan Penjenamaan, Media dan Perhubungan Awam PERKESO, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, kerjasama erat bersama media amat penting bagi memastikan setiap mesej disampaikan dengan jelas serta memberi kesan kepada rakyat.

“Saya menyeru rakan-rakan media untuk sentiasa bersama PERKESO, memudahkan cara menyalurkan maklumat mengenai ahli keluarga, saudara mara atau sahabat handai yang layak mendapat manfaat.

“Pernah ada ibu yang menitiskan air mata apabila menerima pencen penakat daripada arwah anak, lalu dapat menyalurkan sedekah, begitu juga seorang isteri yang merasa seolah-olah masih dinafkahi suaminya walaupun telah lama meninggal dunia,” ujarnya lagi.

Beliau berucap demikian pada Malam Jalinan Mesra Media bersama PERKESO yang turut dihadiri Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) Yatimin Abdullah dan Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob.

Dalam ucapannya, Tengku Khalidah turut mengimbau detik pahit ketika penutupan akhbar Utusan Malaysia pada 2019, apabila PERKESO tampil sebagai agensi pertama menghulurkan bantuan kepada wartawan yang terkesan.

“Ketika Utusan ditutup, saya sendiri terduduk kebingungan. Namun PERKESO hadir menghulurkan tangan, membolehkan kami bangkit semula,” katanya lagi.

Tengku Khalidah selaku juga Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) menegaskan pengamal media perlu bersatu di bawah persatuan yang kukuh, saling menyokong sesama ahli serta mengekalkan etika profesional dalam tugasan.

“Dengan persatuan yang kuat, kita dapat bersama-sama mengatasi cabaran dan memastikan maklumat yang disampaikan lebih berkesan,” ujarnya lagi.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada pengamal media. – HARAKAHDAILY 10/9/2025

- Advertisement -