Tindakan tegas terhadap lombong emas haram

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menegaskan tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan perlombongan emas haram di Sungai Seting, Gua Musang baru-baru ini.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata perlombongan tanpa kebenaran adalah satu bentuk kecurian terhadap harta kerajaan yang juga milik rakyat.

“Setakat ini, kita menerima dua aduan berkaitan perlombongan emas secara haram di negeri ini. Saya minta penguatkuasaan sama ada di pihak kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat mengambil serius perkara ini.

“Supaya kegiatan dapat dibendung sejak awal,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan selepas Mesyuarat Exco di Mabna Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penahanan tiga warga asing iaitu dua rakyat Myanmar dan seorang rakyat Indonesia yang dipercayai menjalankan perlombongan emas tanpa permit di sebuah ladang kelapa sawit di Gua Musang pada Isnin lalu.

Katanya lagi, isu itu membabitkan khazanah negeri dan hak rakyat, maka kerajaan sangat memandang serius perkara berkenaan dan turut berharap orang ramai yang mendapat maklumat agar melaporkannya kepada pihak berkuasa dengan mengemukakan bukti berkaitan.

Dr Fadzli turut merakamkan penghargaan terhadap tindakan pantas pihak berkuasa yang berjaya menumpaskan kegiatan tersebut hasil risikan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bersama agensi penguat kuasa lain.

Selain perlombongan emas katanya, kerajaan negeri juga menerima laporan lisan berhubung kegiatan mencuri kayu di kawasan Kuala Krai dan masih menyiasat sejauh mana kesahihan dakwaan itu, namun maklumat yang diterima akan diteliti oleh pihak berkaitan.

Beliau turut menggesa rakyat Kelantan menyalurkan maklumat lengkap kepada kerajaan negeri sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan termasuk perlombongan haram atau kecurian hasil hutan, bagi membolehkan PTG dan Jabatan Perhutanan mengambil tindakan segera. – HARAKAHDAILY 10/9/2025

- Advertisement -