
SEWAJIBNYA seluruh manusia yang bertamadun sama ada muslim atau bukan muslim dengan penuh rasa kesal dan kemarahan perlu mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab rejim Zionis Israel yang telah melancarkan serangan ke atas Doha, ibu negara Qatar, dengan tujuan membunuh pimpinan HAMAS. Tindakan ini membuktikan sekali lagi bahawa Israel adalah entiti barbarian, rakus dan angkuh—langsung tidak menghormati undang-undang antarabangsa, kedaulatan negara lain, serta prinsip kemanusiaan.
Qatar adalah sebuah negara berdaulat yang berhak mempertahankan dirinya daripada sebarang bentuk serangan. Lebih daripada itu, Qatar telah memainkan peranan besar sebagai penggerak inisiatif gencatan senjata antara Israel dan HAMAS sejak perang meletus pada Oktober 2023. Usaha diplomasi Qatar merupakan antara saluran paling penting dalam menyuburkan harapan keamanan dan menghentikan pertumpahan darah. Serangan terhadap Doha bukan sahaja cubaan menumpaskan pimpinan HAMAS, tetapi juga serangan terhadap usaha perdamaian global yang digerakkan oleh Qatar.
Sehingga kini, perang yang bermula sejak 7 Oktober 2023 telah membawa bencana kemanusiaan paling parah dalam sejarah moden. Menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang diiktiraf oleh PBB, lebih 60,000 orang Palestin telah terbunuh, dan lebih 154,000 mengalami kecederaan serius hingga pertengahan Ogos 2025. UNICEF turut melaporkan lebih 45,000 kanak-kanak cedera dan 18,000 kanak-kanak meninggal dunia akibat kekejaman perang ini. Perang ini juga telah mewujudkan krisis kelaparan yang semakin kritikal, dengan pejabat PBB memberi amaran bahawa Gaza sedang menghadapi kelaparan terburuk abad ini, di mana kematian akibat kelaparan semakin meningkat.
HAMAS adalah gerakan pejuang yang wujud sebagai pertahanan kepada rakyat Palestin yang dizalimi. Menyerahkan label ‘pengganas’ ke atas mereka adalah satu penghinaan terhadap perjuangan hak asasi dan kebebasan rakyat yang ditindas. Sebaliknya, mereka wajar terus disokong — bukan sahaja secara moral, tetapi juga politik dan kemanusiaan — oleh masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia.
Amerika Syarikat juga perlu dipertanggungjawabkan. Sokongan politik, ketenteraan dan kewangan Washington kepada Israel telah memungkinkan rejim Zionis melaksanakan tindakan meniupkan pembunuhan berleluasa tanpa rasa takut. Serangan ke atas Doha ini adalah hasil daripada ‘lesen besar’ yang turut dikeluarkan oleh AS terhadap Israel.
Saya menyeru PBB, OIC, Liga Arab dan seluruh masyarakat antarabangsa untuk:
1. Mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Doha, Qatar.
2. Mengambil tindakan segera menghentikan kezaliman Israel yang semakin tidak terkawal sejak 2023.
3. Mengiktiraf dan menyokong peranan Qatar dalam usaha inisiatif gencatan senjata dan perdamaian.
4. Memberi perlindungan antarabangsa kepada rakyat Palestin yang berada di ambang krisis kemanusiaan.
5. Menuntut pertanggungjawaban Amerika Syarikat atas sokongan membuta tuli kepada tindakan Israel.
Dunia tidak boleh terus menjadi penonton. Keangkuhan Israel mesti dihentikan sekarang. Masyarakat antarabangsa perlu berdiri teguh bersama rakyat Palestin, menghentikan keganasan Zionis, dan mempertahankan kedaulatan negara-negara seperti Qatar yang menjadi mangsa kerakusan mereka.
YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik
Ahli Kaukus Palestin Parlimen Malaysia
10 September 2025 – HARAKAHDAILY 10/9/2025











