
IPOH: Kuasa untuk menutup sesebuah sekolah agama di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 perlu difokuskan untuk membanteras penyebaran ajaran yang menyimpang dan bukan semata-mata atas alasan kekurangan prasarana atau kelemahan birokrasi.
Zafarulazhan Zan (PN- Kampong Gajah) berkata, frasa ‘sebab yang munasabah’ bagi membolehkan sesebuah sekolah ditutup mestilah merujuk kepada ancaman akidah, bukannya isu-isu teknikal yang boleh diperbaiki.
Ketika membahaskan rang undang-undang itu, beliau mencadangkan agar enakmen tersebut secara jelas menyatakan hanya aliran Ahli Sunah Wal Jamaah yang dibenarkan di Perak.
“Saya cadangkan untuk dimasukkan secara jelas aliran Ahli Sunah Wal Jamaah sahaja yang diterima dan dibenarkan, dan tidak membenarkan fahaman-fahaman yang menyimpang seperti Wahabiah, Syiah dan ajaran-ajaran sesat lain.
“Penutupan berdasarkan metodologi yang dibawa, bukan disebabkan prasarana semata-mata,” katanya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Darul Ridzuan, di sini kelmarin.
Menurutnya, ruh dan pengisian pendidikan Islam adalah lebih utama berbanding pembangunan fizikal, sepertimana peranan besar yang dimainkan oleh graduan lepasan institusi pondok dalam dakwah dan pembentukan akhlak masyarakat.
Justeru, beliau menyarankan agar mana-mana sekolah agama yang mempunyai kekurangan dari segi prasarana sepatutnya dibantu dengan peruntukan sewajarnya sehingga melepasi piawaian ditetapkan, bukannya dihukum dengan penutupan.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh peruntukan mengenai pemeriksaan oleh Nazir Sekolah, yang mewajibkan pengemukaan buku dan akaun.
Menyedari bahawa sebilangan sekolah agama mungkin kekurangan tenaga mahir dalam urusan pentadbiran, beliau mencadangkan agar kerajaan menyediakan kursus secara berkala bagi melatih kakitangan sekolah-sekolah tersebut.
“Saya yakin dengan penambahbaikan enakmen, serta peningkatan aspek kurikulum, guru, prasarana, kewangan dan kerjasama komuniti, pendidikan agama Islam di Perak akan berkembang dalam suasana harmoni.
“Tujuan ditubuhkan institusi pendidikan Islam ini adalah melahirkan mereka yang menggalas tugas Rasulullah SAW. Janganlah kerana sedikit sahaja kesalahan yang dilakukan terhalang tujuan utama,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/9/2025











