Keciciran SPM: Angka besar 2,027 pelajar di Perak

- Advertisement -

IPOH: Tindakan proaktif wajar diambil bagi menangani isu keciciran pelajar daripada menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang disifatkan sebagai satu masalah serius bagi sistem pendidikan negeri.

- Advertisement -

​Mohamad Amin Roslan (PN-Pengkalan Hulu) berkata, seramai 2,027 calon SPM di Perak tidak mengambil peperiksaan tersebut pada tahun 2024.

​“Daripada 27,943 calon yang berdaftar, seramai 2,027 calon SPM tidak hadir mengambil peperiksaan pada tahun 2024. Jadi, ini satu angka yang besar.

​“Isu keciciran murid yang menduduki SPM ini dilihat sebagai satu masalah bagi sistem pendidikan di negeri Perak,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Soalan-soalan Lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak, di sini semalam.

​Mohamad Amin turut mempersoalkan langkah dan usaha yang akan diambil oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang dan jumlahnya dapat dikurangkan pada masa akan datang.

​“Apakah usaha dan apakah tindakan yang akan diambil oleh kerajaan negeri bersama dengan JPN Perak bagi mengatasi perkara ini supaya ia tidak terus berlaku, ataupun kita dapat menangani perkara ini supaya jumlah pelajar cicir SPM ini dapat dikurangkan tahun ke tahun,” ujarnya.

​Dalam soalan, beliau turut meminta perincian mengenai keberkesanan program intervensi untuk mengembalikan pelajar ke sekolah, mekanisme pemantauan, serta langkah strategik untuk menangani punca utama keciciran.

Antara disebutnya adalah seperti pembuangan sekolah dan hilang minat, termasuk cadangan laluan alternatif seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

​Menjawab soalan tambahan, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Khairudin Abu Hanifah menjelaskan bahawa angka 2,027 itu berkemungkinan merangkumi calon yang tidak hadir hanya untuk satu atau dua kertas peperiksaan.

​Beliau menyatakan bahawa jumlah sebenar calon yang tidak hadir untuk semua kertas peperiksaan SPM pada tahun 2024 adalah jauh lebih rendah.

​“Berkaitan data yang disebut tadi, yang tak hadir sekitar 2,000 itu mungkin ada yang tidak ambil satu atau dua kertas. Yang tak hadir semua kertas SPM pada 2024 ialah 475 orang, bermakna (jumlahnya) semakin berkurang.

​“Kita sentiasa mengambil langkah untuk mengurangkan keciciran pelajar,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/9/2025

- Advertisement -