Berkhidmat lebih satu dekad, jawatan masih kontrak

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan Negeri Perak disaran memberi perhatian serius terhadap isu kakitangan sokongan yang masih berstatus kontrak walaupun setelah berkhidmat lebih 10 tahun, selain menangani masalah tunggakan kes perceraian yang berlarutan di Mahkamah Syariah.

- Advertisement -

​Rahim Ismail (PN-Changkat Jering) berkata demikian ketika mengemukakan soalan dalam sesi Soalan-soalan Lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini semalam.

​Menurut beliau, status kontrak yang tidak menentu bagi kakitangan telah lama berkhidmat sedikit sebanyak akan mengganggu prestasi perkhidmatan dan memerlukan tindakan segera daripada kerajaan negeri.

​“Apakah kerajaan negeri menyedari tentang kebanyakan kakitangan terutama kakitangan sokongan yang masih lagi berkhidmat secara kontrak, ada berkhidmat lebih 10 tahun? Ini sedikit sebanyak akan mengganggu prestasi perkhidmatan dan perlu diambil perhatian,” katanya.

​Rahim turut membangkitkan rungutan orang ramai berhubung kes tertunggak di Mahkamah Syariah, khususnya kes perceraian yang memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan dan mempersoalkan langkah proaktif kerajaan negeri dalam menanganinya.

​Beliau turut menyentuh isu-isu kontemporari yang mencabar institusi kekeluargaan dan kehakiman syariah, termasuk tindakan suami yang ingkar perintah mahkamah dan kesediaan mahkamah menghadapi cabaran baharu.

​”Apakah tindakan kerajaan terhadap suami yang tidak hadir beberapa kali untuk hadir ke perbicaraan serta tidak lagi memenuhi nafkah. Adakah Mahkamah Syariah bersedia untuk menghadapi isu kontemporari seperti transgender dan perceraian digital?

“Dalam masyarakat digital semua masalah ini akan menyumbangkan kepada gangguan emosi serta menjejaskan kelewatan satu-satu kes,” tambahnya.

​Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam yang juga Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad dalam jawapannya menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak boleh campur tangan dalam urusan mahkamah.

​Menurutnya, sebarang tindakan hukuman terhadap individu yang ingkar perintah mahkamah adalah di bawah bidang kuasa badan kehakiman itu sendiri.

​”Kerajaan tak boleh buat arahan terhadap apa-apa kes mahkamah, jadi kalau ada suami atau bekas suami yang engkar, itu hukuman seterusnya dibuat oleh mahkamah, bukan kerajaan,” jelasnya.

​Menjawab mengenai isu kakitangan kontrak, beliau menyatakan bahawa perkara tersebut sentiasa dalam perhatian kerajaan.

​”Berkaitan ketidakcukupan pegawai, (isu) kerajaan kontrak sentiasa dibuat kajian dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada soalan asal, Rahim membangkitkan persoalan berkaitan langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri, khususnya pihak berkuasa berkaitan, dalam menangani rungutan orang ramai berhubung kes tertunggak di Mahkamah Syariah.

Khususnya kata beliau, kes perceraian yang memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan serta inisiatif atau pelan tindakan dirancang bagi mempercepatkan proses dan mengurangkankan beban kes tertunggak. – HARAKAHDAILY 11/9/2025

- Advertisement -