
BARU-baru ini kita dikejutkan dengan serangan Zionis ke atas Qatar atas alasan menyerang HAMAS. Serangan ini sepatutnya sudah terlebih cukup untuk menggambarkan bahawa Zionis melanggar sempadan kemanusiaan dan kedaulatan sesebuah negara.
Hubungan Antarabangsa yang bersifat sekular yang dicipta oleh mereka, akhirnya dilanggar oleh mereka sendiri. Disiplin yang dirangka untuk menstrukturkan keamanan dunia kononnya, tiada apa-apa erti melainkan hanya dijadikan alas untuk keghairahan mereka melakukan keganasan.
Diplomasi yang mereka jaja selama ini dilihat sekadar satu kepalsuan untuk mengaburi mata masyarakat dunia. Diplomasi yang tidak melahirkan apa-apa makna. Rundingan Kerajaan Palestin dengan mereka selama puluhan tahun hanya dilihat sebagai usaha yang sia-sia.
Desakan mereka supaya HAMAS meletakkan senjata, yang turut disambut oleh dunia Arab, hanyalah helah untuk mereka lakukan keganasan dengan lebih terbuka. Berkali-kali umat Islam ditipu dengan slogan palsu mereka, namun masih tidak mahu mengambil pengajaran.
Barat selama ini memperkenalkan sekular. Mereka menjanjikan negara yang makmur ditadbir tanpa pengaruh agama yang dianggap khayalan kononnya. Akhirnya dengan sekular itu, negara-negara antarabangsa menjadi dungu terhadap isu kemanusiaan di Gaza.
Rakyatnya terpaksa merisikokan nyawa, bersolidariti dan menempuh konvoi yang panjang, tanpa sokongan ketenteraan negaranya sendiri. Membiarkan rakyat yang berjiwa manusiawi, menghadapi binatang buas yang lapar.
Pak Arab yang tertipu dengan slogan palsu Barat, turut mengangkat pemerintah sekular, yang akhirnya membiarkan Gaza. Serangan ke atas Qatar, melintasi ruang udara Jordan dan Saudi. Pemerintah Islam yang mengecewakan umatnya.
Para ulamanya mempromosikan agar ‘ulamak sekadar menasihati’, dan tidak campur tangan urusan negara. Membiarkan negaranya ditadbir oleh serigala yang cuma laparkan dunia. Slogan sekular membawa urustadbir yang baik hanya sekadar kepalsuan yang mendungukan.
Selama ini Liberal menjanjikan kebebasan kepada setiap manusia. Di kalangan umat Islam turut ghairah mempromosikannya. Mereka mengangkat pemerintah-pemerintah yang liberal dengan harapan mampu menjunjung kebebasan.
Namun akhirnya negara-negara Islam yang liberal menjadi pengecut apabila bapa liberal itu sendiri melakukan kekejaman dan penindasan ke atas Gaza. Wartawan yang dijamin kebebasan bersuara kononnya, akhirnya terkorban ratusan jiwa di Gaza. Para liberalis hilang suara. Paling hebat pun hanya mampu melalak dan mengecam. Pemerintah liberal kekal berkuasa.
Selama ini humanisme menjanjikan kemanusiaan. Slogan ini diangkat merata dunia. Pelbagai pertubuhan ditaja, untuk bercakap soal kemanusiaan. Namun akhirnya apabila Gaza dibantai, nyawa dibunuh begitu sahaja, semuanya kelu. Masing-masing tertipu. Selama ini, menganggap suara mereka sudah cukup untuk menghentikan penindasan. Rupanya tidak.
Akhirnya mereka hanya mampu melalak di mikrofon dan dewan-dewan mengecam 24 jam. Namun, tentera-tentera pula masih lagi belum kedut uniformnya, kasut mereka masih bersinar, tanpa sedebu pun melekat. Senjata pula kilat digilap.
Selama ini masyarakat dunia tertipu dengan slogan-slogan Barat yang palsu, dan mendungukan akal. Mereka ditipu oleh ahli politik berotak Barat yang berkempen melaungkan kebebasan, kemanusiaan dan urus tadbir yang cekap kononnya. Namun, apabila berkuasa, mereka menjadi Presiden yang hanya sekadar menjaga kusyen merah dan berkot mewah.
Begitulah sifat dan perangai Yahudi Zionis yang mana sikap mereka itu memang suka melakukan kerosakan, keganasan, selalu melampaui batas serta sifat permusuhan yang keras mereka terhadap Islam. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ma’idah ayat 82:
لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا
”Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik…”
MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL
Pensyarah Fakulti Usuluddin, Al-Quran dan Sunnah,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) – HARAKAHDAILY 11/9/2025











